Sungai di Kuala Kerpan bertukar hitam akibat pencemaran sisa buangan kolam ternakan udang.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Perikanan Kedah mengambil tindakan segera bagi menangani masalah pencemaran sungai yang menjejaskan 200 nelayan di Kuala Kerpan, Jitra, Kedah.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, pencemaran yang dipercayai berpunca daripada sisa buangan kolam ternakan udang itu dikatakan sudah berlarutan sejak lebih 10 tahun lalu namun menjadi semakin serius sejak tiga tahun kebelakangan ini.

Jelas beliau, rata-rata penduduk mendakwa pengusaha ternakan udang terbabit membuang sisa kolam pada awal pagi bagi mengelak diketahui oleh orang ramai dan pihak berkuasa.

Katanya, akibat pencemaran itu pendapatan nelayan di kawasan berkenaan telah merosot melebihi 50 peratus dan tidak mustahil mencecah 90 peratus jika masalah itu berlarutan.

“Tinjauan CAP mendapati air Sungai Kerpan bertukar warna menjadi hitam dan berbau busuk manakala hidupan seperti ikan, udang, ketam serta kerang semakin berkurangan dan hampir pupus.

“Selain itu, perbuatan tersebut menyebabkan beberapa jenis ikan seperti sembilang, gelama, siakap dan lain-lain ditemui mati terapung di permukaan air,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ikan mati akibat pencemaran di sungai Kuala Kerpan, Kedah.

Dalam perkembangan sama, Mohideen meluahkan rasa kesal susulan tiada tindakan diambil walaupun pencemaran tersebut sudah lama berlaku.

“Jika keadaan itu dibiarkan, kita bimbang pencemaran sungai akan lebih serius sekali gus mengakibatkan kepupusan hidupan laut dan nelayan hilang mata pencarian,” ujar Mohideen. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast