PSM dakwa rakyat perlukan suara ketiga wakili mereka.
Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyeru pada kerajaan menghentikan pembinaan stesen janakuasa bahan api fosil baharu yang akan membebankan rakyat dan negara.

KUALA LUMPUR – Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyeru pada kerajaan menghentikan pembinaan stesen janakuasa bahan api fosil baharu yang akan membebankan rakyat dan negara.

Biro Alam Sekitar dan Krisis Iklim PSM, Sharan Raj berkata, pada 19 Februari lalu, Semenanjung Malaysia telah menerima sebuah stesen janakuasa baharu di Pasir Gudang iaitu Southern Power Generation (SPG) dengan kapasiti 1,440MW.

Jumlah kapasiti penjanaan di Semenanjung Malaysia kini telah mencapai hampir 26,000MW tetapi kapasiti permintaan harian tidak melebihi 17,000MW.

“Jumlah kapasiti stesen janakuasa berlebihan yang dikenali sebagai kadar rizab margin elektrik adalah sebanyak 35 peratus manakala kadar rizab margin elektrik optimum untuk Semenanjung Malaysia adalah 15 peratus” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, menurut laporan Suruhanjaya Tenaga (ST), kadar rizab margin elektrik akan mencapai 48 peratus ataupun tiga kali ganda lebih tinggi daripada kadar optimum sebelum akhir tahun ini.

“Maka, memiliki kadar rizab margin elektrik yang tinggi akan membebankan rakyat dan negara bahkan keadaan ini menyebabkan pemegang saham stesen janakuasa akan menerima bayaran tetap walaupun stesen janakuasa tidak digunakan,” ujar Sharan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, rakyat dan perniagaan kecil terpaksa membayar keuntungan pemegang saham melalui tarif elektrik masing-masing

“Kerajaan juga telah memberikan kelulusan untuk memulakan pembinaan stesen janakuasa elektrik bernilai RM3.3 billion di Pulau Indah, Selangor.

“Bagaimanapun, kebanyakan jentera dan peralatan yang digunakan dalam stesen janakuasa adalah diimport dari luar negara dan bernilai berbilion-bilion ringgit.

“Maka, pengaliran keluar mata wang asing untuk stesen janakuasa yang tidak digunakan akan melemahkan ekonomi negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette