KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengguna (IHP) menurun 0.2 peratus pada bulan Januari 2021 kepada 122.1 berbanding 122.4 pada bulan yang sama tahun lalu.

Penurunan IHP keseluruhan ini disebabkan penurunan indeks pengangkutan (-5.1%); perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain (-0.7%); pakaian & kasut (-0.4%) dan restoran & hotel (-0.1%) yang menyumbang 44.5 peratus kepada keseluruhan wajaran.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, daripada 552 item yang diliputi di dalam IHP, 340 item menunjukkan peningkatan pada Januari 2021 berbanding Januari 2020.

Sebaliknya, 138 item mencatatkan penurunan manakala 74 item tidak berubah.

Berdasarkan prestasi 552 item mengikut kategori barangan dan perkhidmatan, barang tidak tahan lama (296 item) adalah kategori paling banyak mengalami kenaikan harga iaitu 208 item, 71 item menurun dan 17 item tidak berubah berbanding kategori
perkhidmatan, barang semi tahan lama dan barang tahan lama.

Walau bagaimanapun, makanan dan minuman bukan alkohol meningkat 1.5 peratus kepada 136.1 berbanding 134.1 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Kumpulan ini menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP.

Selain itu, pelbagai barangan & perkhidmatan turut menunjukkan peningkatan 1.8 peratus dan diikuti minuman alkohol dan tembakau (0.7%); kesihatan (0.7%); hiasan, perkakasan dan penyelenggaraaan isi rumah (0.2%) dan pendidikan (0.2%).

Mohd Uzir menambah, IHP tanpa bahan api meningkat 0.5 peratus pada Januari 2021 kepada 113.6 berbanding 112.8 pada bulan yang sama tahun 2020.

IHP tanpa bahan api meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali petrol tanpa plumbum RON95, petrol tanpa plumbum RON97 dan diesel.

Purata harga RON95 menunjukkan penurunan pada Januari 2021 iaitu RM1.87 per liter berbanding RM2.08 pada Januari 2020, manakala purata harga RON97 menurun kepada RM2.17 per liter berbanding RM2.58.

Purata harga diesel pula menurun kepada RM2.04 per liter berbanding RM2.18 pada bulan yang sama tahun lalu.

Indeks teras meningkat 0.7 peratus pada Januari 2021 berbanding bulan yang sama tahun 2020.

Antara kumpulan utama yang bertindak sebagai pendorong kepada kenaikan ini adalah kumpulan pelbagai barangan dan perkhidmatan (1.8%); makanan dan minuman bukan alkohol (1.2%); kesihatan (0.7%); perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (0.5%); hiasan, perkakasan & penyelenggaraaan isi rumah (0.2%) dan pendidikan (0.2%).

Indeks teras meliputi barangan tidak termasuk item makanan segar dengan harga paling tidak menentu serta barangan dan perkhidmatan harga dikawal.

Walaupun perubahan IHP tahunan menurun, perubahan IHP bulanan meningkat 1.2 peratus berbanding Disember 2020. disumbangkan oleh pengangkutan (3.7%); perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (2.6%); hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (0.3%) dan makanan dan minuman bukan alkohol (0.2%).

Lima negeri iaitu Terengganu (0.3%), Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya (0.2%), Kelantan (0.2%), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (0.1%) dan Pahang (0.1%) menunjukkan peningkatan melepasi paras IHP nasional -0.2 peratus pada
Januari 2021 berbanding Januari 2020.

Kesemua negeri kecuali Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan makanan & minuman bukan alkohol.

Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Pahang iaitu 2.4 peratu, diikuti oleh Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.2%), Terengganu (2.0%), Kelantan (1.8%), Perak (1.6%) dan Negeri Sembilan (1.6%). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast