Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menunjukkan Kad Imunisasi Covid-19 dan MySejahtera selepas disuntik vaksin Pfizer BioNTech Covid-19 di Pejabat Kesihatan Putrajaya Presint 11, Putrjaya. Foto AFFAN FAUZI, 24 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini merekodkan pertambahan sebanyak 3,545 kes baharu positif Covid-19 berbanding semalam.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 291, 774 kes hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan hari ini berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula adalah 30,677 kes.

Daripada jumlah kes baharu, terdapat satu kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan Covid-19 dalam negara pula adalah sebanyak 3,544 kes.

“Bagi kes penularan di dalam negara, 2,754 kes adalah warganegara Malaysia manakala 870 kes adalah bukan warganegara,” katanya.

Menurutnya, Negeri Sembilan merupakan satu-satu negeri yang merekodkan kes baharu positif yang tertinggi di Malaysia iaitu sebanyak 1,392 kes.

Jumlah kes baharu diikuti Selangor dengan 581 kes, Kuala Lumpur (381), Sarawak (353), Johor (318), Perak (188), Sabah (105), P.Pinang (95), Kelantan (53), Melaka (26), Terengganu (22), Kedah (17), Pahang (8), Labuan (5) dan Perlis (0).

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, kadar kes sembuh hari ini juga direkodkan agak tinggi berbanding semalam sebanyak 3,331 kes.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada Covid-19 sebanyak 260,009 kes (89.11 peratus daripada jumlah keseluruhan kes), katanya.

Selain itu, terdapat 189 kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi di mana 88 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Bagaimanapun kes kematian akibat Covid-19 pula menurun dua kes daripada 14 kes semalam kepada 12 kes hari ini.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 1,088 kes (0.37 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” katanya lagi. – MalaysiaGazette