Buku teks Sejarah Tingkatan 4

KUALA LUMPUR – Sekretariat Gabungan NGO Tolak Buku Teks Sejarah Tingkatan Empat (BST4) kesal kerana kerajaan dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) masih belum menarik balik buku sejarah Tingkatan 4 meskipun banyak fakta sejarah negara yang penting sengaja diselewengkan.

Menurutnya, setakat ini KPM belum lagi memberi respons terhadap bantahan yang dibuat pada tahun lalu.

“KPM masih belum menarik balik buku ini, sedangkan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pun menyatakan buku ini sangat bahaya,” kata sekretariat itu kepada MalaysiaGazette.

Lantaran itu, Sekretariat Gabungan NGO Tolak Buku Teks BST4 meminta perdana menteri melihat isu  dengan serius memandangkan buku tersebut digunakan oleh pelajar-pelajar di sekolah kerajaan.

Menurutnya, memorandum telah dihantar kepada Tan Sri Muhyiddin Yasin pada 19 September 2020, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim dan Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin, masing-masing pada 13 Oktober 2020

Malah, pihak sekretariat juga telah mengadakan pertemuan dengan pegawai di Bahagian Buku Teks KPM.

Pemuda UMNO hari ini mendesak Kementerian Pendidikan segera menarik balik buku-buku sejarah Tingkatan 4 dan memperbetulkan kembali fakta-fakta yang cuba dimanipulasi bagi merubah sejarah negara.

Ketuanya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Pemuda UMNO memandang serius unsur-unsur fakta yang dimanipulasikan dengan mengagung-agungkan pihak komunis sebagai pejuang kemerdekaan dalam silibus dan sukatan buku teks sejarah tingkatan 4 KSSM.

Perkara ini, katanya, semacam satu usaha terancang dan sengaja dilakukan ketika 22 bulan Pakatan Harapan memerintah bagi menanamkan benih ideologi ‘Malaysian Malaysia’ dan secara halus menyuci pemikiran pelajar bahawa fahaman sosialis dan komunis tidaklah buruk malah diangkat sebagai antara ideologi yang memperjuangkan kemerdekaan.

Baru-baru ini, wakil Gabungan NGO-NGO Melayu juga membuat laporan polis berhubung fakta di dalam Buku Teks Sejarah Tingkatan 4.

Laporan polis itu dibuat supaya pihak polis dapat menjalankan siasatan terperinci terhadap penerbitan buku ini dan mengharamkannya daripada menjadi buku teks para pelajar.

Dakwanya, buku teks sejarah tingkatan 4 KSSM mengandungi unsur-unsur fakta yang telah dimanipulasikan dan memasukkan elemen Malaysian Malaysia dalam isi kandungannya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Tak heranlah dah ramai bekas dan talibarut komunis diikhtiraf sebagai warga tempatan malah sekian lama memiliki majoriti ekonomi yang jelas bercanggah dan mencabuli Kontrak Sosial dan hak perlembagaan keistimewaan Melayu terhad dengan DEB 30$ jer.

Comments are closed.