Mohd Uzir Mahidin.

PUTRAJAYA – Ekonomi Malaysia bakal menunjukkan prospek yang lebih baik pada bulan-bulan akan datang berdasarkan prestasi Indeks Pelopor (IP) yang mencatatkan 108.8 mata pada Disember 2020 daripada 101.6 mata pada Disember 2019 serta mengekalkan pertumbuhan tahunan 7.1 peratus sejak November 2020.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata ketika ini dunia sedang dalam proses pelancaran vaksin COVID-19 dan Malaysia bersama-sama dengan ekonomi global lain dijangka kembali kepada pertumbuhan positif tahun ini.

“Ekonomi global pada ketika ini berada dalam trend pemulihan daripada kemerosotan akibat COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan mengenai Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia (MESR) Siri 2/2021 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan, hari ini.

Laporan tersebut menyediakan analisis terperinci berdasarkan kepada statistik utama semasa bagi prestasi ekonomi Malaysia.

Mohd Uzir berkata, menurut World Economic Outlook Update yang dikeluarkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada Januari 2021, ekonomi dunia diunjurkan bertambah baik kepada 5.5 peratus pada 2021 dan 4.2 peratus pada 2022 susulan aktiviti ekonomi yang perlahan berikutan langkah kawalan bagi membendung pandemik pada 2020.

Mengenai prestasi ekonomi negara pada suku keempat 2020, beliau berkata pandemik COVID-19 telah memberikan kesan yang mendalam terhadap ekonomi global pada tahun itu dengan hampir semua negara di seluruh dunia mengalami kelembapan ekonomi dan Malaysia tidak terkecuali apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menguncup 3.4 peratus.

Dari segi prestasi bulanan pula, katanya, ekonomi Malaysia mencatatkan penguncupan 4.7 peratus pada Oktober 2020, menyusut lebih perlahan pada November kepada negatif 4.0 peratus dan negatif 1.7 pada Disember.

“Bagi keseluruhan tahun 2020, KDNK Malaysia menyusut 5.6 peratus berbanding pertumbuhan positif 4.3 peratus pada 2019 berikutan kemerosotan dalam semua sektor ekonomi disebabkan oleh beberapa gelombang peningkatan kes COVID-19 serta penguatkuasaan pelbagai fasa kawalan pergerakan di sepanjang tahun.

“Penyusutan ini adalah yang kedua terendah pernah direkodkan selepas kemelesetan ekonomi pada tahun 1998,” katanya.

Menurutnya, walaupun krisis kesihatan ini masih berlarutan ketika melangkah ke 2021, tindak balas kerajaan pada kali ini dilihat lebih seimbang antara kehidupan dan mata pencarian dengan membenarkan sektor ekonomi beroperasi di bawah prosedur operasi standard (SOP) ketat yang merupakan langkah positif kepada keseluruhan ekonomi serta memberi kelegaan kepada perniagaan.

Mengenai ketibaan kumpulan pertama vaksin COVID-19 ke Malaysia, Mohd Uzir berkata ia pasti dapat membantu mengurangkan impak kepada ekonomi serta membolehkan lebih banyak sektor ekonomi beroperasi semula dan berkemungkinan membenarkan pembukaan semula sempadan antarabangsa secara beransur-ansur.

“Namun demikian, perniagaan tidak seharusnya memandang vaksin sebagai jalan penyelesaian dan perlu berterusan mengamalkan norma baharu. Dengan kepantasan adaptasi penggunaan e-Dagang berikutan pelaksanaan penjarakan fizikal dan sekatan pergerakan, tidak dipertikaikan lagi digitalisasi merupakan hala tuju ke hadapan,” katanya.

Justeru, katanya, Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia yang holistik dilancarkan baru-baru ini bertepatan kerana menggariskan bidang fokus digitalisasi termasuk mendaya upaya bakat, menyediakan persekitaran digital yang dipercayai dan selamat serta mengembangkan bidang fokus dalam sektor ekonomi.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast