Arifai Tarawe

GOMBAK – Seorang juruwang wanita sebuah kedai serbaneka 24 jam nyaris menjadi mangsa samun ketika keseorangan semasa bertugas di sebuah kedai serbaneka di Kundang pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, dalam kejadian jam 8 malam itu, mangsa, 35, telah didatangi seorang suspek lelaki yang tidak dikenali.

“Suspek kemudian mengacukan satu objek disyaki sepucuk pistol kecil ke arah mangsa sebelum meminta wang daripadanya.

“Mangsa bagaimanapun menyatakan tiada wang sebelum suspek mengarahkan wanita itu membuka peti wang kaunter, namun mangsa mengatakan tidak boleh membuka peti wang tersebut, katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Arifai, suspek kemudian meminta sekotak rokok dari mangsa dan kemudian terus beredar meninggalkan premis itu.

Bertindak atas maklumat, Arifai berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak telah menangkap suspek seorang lelaki tempatan di Jalan Besar Bandar Rawang pada jam 11 pagi semalam.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas suspek polis merampas sepucuk pistol mainan berwarna hitam dan sehelai baju-t warna biru yang digunakan semasa kejadian.

Semakan lanjut ke atas suspek memiliki rekod jenayah lampau dan siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960, ujarnya.

Arifai berkata, suspek yang berusia 26 tahun direman selama empat hari mulai hari ini untuk untuk membantu siasatan. – MalaysiaGazette