KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman hari ini memberi penjelasan mengenai gambar tular di media sosial yang mendakwa seorang penunggang motosikal Harley Davidson disaman kerana kesalahan ekzos bising.
JSPT sebenarnya mengeluarkan saman ke atas pemilik motosikal berkuasa tinggi itu disebabkan nombor pendaftarannya yang fancy semasa operasi di Jalan Sungai Besi pada 20 Februari lalu.
Namun ia disalahtafsir oleh netizen dengan mengaitkan tindakan saman ke atas ekzos bising pada motosikal import itu.
“JSPT ingin menjelaskan gambar tersebut disalah tafsir memandangkan tindakan saman dikenakan adalah bagi kesalahan nombor pendaftaran fancy dan bukan kesalahan ekzos bising semasa operasi JSPT Kontinjen Kuala Lumpur bersama Jabatan Alam Sekitar,” kata kenyataan Unit Media, Kempen dan Pendidikan Urusetia JSPT Bukit Aman hari ini.
Menurutnya, operasi berkenaan bertujuan untuk menguatkuasakan peraturan dan undang-undang sedia ada terhadap semua pengguna kenderaan termasuk juga bagi kesalahan ubah suai ekzos menyebabkan bunyi bising melebihi had yang dibenarkan.
JSPT juga menegaskan mana-mana kenderaan yang menggunakan peralatan dan aksesori mengikut spesifikasi keluaran asal kilangĀ tidak melakukan kesalahan.
“Bagaimanapun, sekiranya terdapat pengubahsuaian dilakukan tanpa mendapat kelulusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) adalah menjadi suatu kesalahan dan boleh diambil tindakan undang-undang.
“JSPT menggesa semua pengguna dan pemilik kenderaan supaya mematuhi peraturan dan undang-undang agar tidak melakukan pengubahsuaian tanpa kebenaran demi memastikan keselamatan dan keselesaan awam.-MalaysiaGazette