ACP Noorzainy Mohd Noor

KEPALA BATAS – Duit simpanan seorang ejen insurans lesap selepas diperdaya sindiket pinjaman tidak wujud baru-baru ini.

Sebahagian daripada berjumlah RM252,074 yang ditipu itu turut dipinjam daripada ahli keluarga dan kenalan rapat.

Difahamkan, mangsa berusia 50-an itu membuat pinjaman untuk mengubah suai rumahnya termasuk perbelanjaan diri sendiri.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, hasil siasatan mendapati mangsa menerima iklan pinjaman menggunakan nama sebuah bank menerusi aplikasi WhatsApp sebelum mengisi butiran nombor telefonnya.

Jelas beliau, selepas itu mangsa menerima mesej daripada kakitangan syarikat pinjaman yang bersetuju untuk memberikan pinjaman peribadi.

“Mangsa diarahkan membuat pelbagai bayaran termasuk bayaran insurans sebagai wang proses permohonan pinjaman itu.

“Menggunakan alasan pinjaman telah diluluskan suspek meminta mangsa membuat 25 transaksi pindahan wang berjumlah RM252,074.

“Syak sesuatu tidak kena memandangkan banyak wang sudah diberikan mangsa menelefon pihak pinjaman berkenaan dan meminta pulangkan wangnya pada 22 Februari lalu namun gagal sebelum tampil membuat laporan semalam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut beliau, siasatan berhubung kes itu masih dijalankan termasuk mendapatkan maklumat pemilik akaun bank yang digunakan ketika melakukan transaksi.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Dalam perkembangan sama, Noorzainy menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan sindiket yang menawarkan pinjaman dengan cara meminta wang pendahuluan untuk meluluskan pinjaman.

“Orang ramai juga dinasihatkan tidak membuat sebarang pinjaman menerusi iklan yang disiarkan di laman sesawang bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan,” ujar Noorzainy. – MalaysiaGazette