Reaksi wajah seorang lelaki ketika menjalani ujian saringan Covid-19.

KUALA LUMPUR – Subsidiari Kumpulan UCSI, Laurent Bleu Medical Clinic menawarkan ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (PCR) dengan harga RM190 sahaja bermula 1 Mac ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Laurent Bleu, Natasha Ng, harga baharu itu merupakan salah satu inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) pihaknya bagi mengurangkan jangkitan dan kematian akibat Covid-19 di dalam negara.

”Sebelum ini harga yang kami tawarkan untuk ujian PCR adalah RM250 tapi kami putuskan untuk menurunkannya kepada RM190 sahaja pada bulan Mac ini bagi melandaikan lengkung kes. Kami mahu pastikan orang ramai dapat menjalani ujian Covid-19 dengan harga yang berpatutan.

”Dengan lebih ramai orang awam yang menjalani ujian Covid-19 terutama mereka yang memiliki simptom atau mempunyai kontak rapat dengan pesakit positif, kita dapat mengawal penyebaran Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ng berkata, selain individu yang memiliki kontak rapat dengan pesakit positif mahupun yang menunjukkan simptom, ujian PCR itu juga boleh dilakukan bagi mereka yang bakal memasuki Sarawak mahupun yang ingin ke luar negara.

Menurutnya lagi, servis itu ditawarkan untuk sesiapa sahaja termasuk pekerja asing sepanjang bulan Mac ini dan akan kembali kepada kadar asal iaitu RM250 pada bulan berikutnya.

”PCR ini kaedah yang lebih baik berbanding Kit Ujian Pantas Antigen (RTK-Ag) dalam mengesan virus SARS-CoV-2 yang mana ujian ini mengesan kehadiran RNA, malah ia juga boleh mengesan virus pada pesakit yang tidak mempunyai simptom.

”Ketepatan ujian PCR ini juga hampir 100% sementara ketepatan RTK-Ag sekitar 85% dan untuk ujian RTK-Ag ini kita tawarkan dengan harga RM70,” ujarnya.

Tambahnya, keputusan ujian boleh diterima dalam tempoh 24 jam namun ia bergantung kepada jumlah ujian yang dijalankan pada hari tersebut.

Namun bagi individu yang mahukan keputusan segera, ia boleh diperolehi dalam tempoh 12 jam hingga 24 jam dengan harga asal RM250.

Bagi sesiapa yang menjalankan ujian kali kedua dalam tempoh 14 hari selepas ujian pertama juga layak menerima diskaun RM20 bagi PCR dan diskaun RM5 bagi RTK-Ag.

Orang ramai boleh hadir ke CMC Centre, Jalan Cerdas di Taman Connaught, Cheras bermula jam 9 pagi hingga 5 petang setiap Isnin hingga Sabtu.

Mana-mana individu yang ingin menjalani ujian secara pandu lalu perlu menghubungi klinik untuk membuat temujanji sehari awal melalui aplikasi WhatsApp +60 10-528 6368 atau emel [email protected]. – MalaysiaGazette