KUALA LUMPUR – Semua pihak khususnya masyarakat perlu menyokong peranan Rukun Tetangga sebagai agen dan penggerak usaha untuk menyatupadukan rakyat di negara ini.
Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bagi tujuan itu orang ramai digesa untuk mengenal pasti keperluan komuniti dan menangani isu-isu sosial di kawasan setempat untuk melahirkan sebuah komuniti yang sejahtera.
“Marilah kita berganding bahu dan menggembleng tenaga dalam menjayakan usaha murni ini supaya negara kita dapat merealisasikan agenda perpaduan nasional, katanya berucap secara langsung di laman sesawang pemerkasaankomunitikrt.com, hari ini.
Terdahulu, Muhyiddin merasmikan Majlis Pelancaran Pelan Pemerkasaan Kepimpinan Komuniti Rukun Tetangga 2021-2030 dan Anugerah Perdana Rukun Tetangga 2021.
Hadir sama dalam majlis itu, Menteri Perpaduan Datuk Halimah Mohamed Sadique.
Untuk rekod, setakat ini KRT sedia ada kini mencecah 8,274 kawasan dengan 248,220 keahlian di seluruh negara.
Peningkatan KRT dan keahliannya amat ketara ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19 sejak Mac tahun lalu.
Muhyiddin juga berharap dengan Anugerah Perdana Rukun Tetangga yang diumumkan hari sebagai pengiktirafan kepada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang cemerlang.
“Saya berharap anugerah ini akan menjadi penyuntik semangat kepada seluruh KRT untuk terus menyampaikan perkhidmatan yang cemerlang kepada komuniti masing-masing.
“Saya juga berharap saudara-saudari dapat menjadi contoh teladan kepada anggota Rukun Tetangga yang lain,” katanya lagi. – MalaysiaGazette