Ahmad Amzar Ahmad Azlan.

SHAH ALAM – Dewan Pemuda Pas Selangor hari ini menggesa Polis DiRaja Malaysia (PDRM) membuat pertuduhan semula ke atas seorang lelaki yang didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor atas tuduhan melakukan seks di luar tabii.

Kali ini pendakwaan perlu dilakukan di mahkamah sivil.

Peguam Jabatan Hal Ehwal Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM), Ahmad Amzar Ahmad Azlan berkata, bagi tujuan itu, pihak berkuasa boleh mendapatkan kertas siasatan dan bukti yang telah dijalankan sebelum ini.

“Oleh kerana kes ini tidak boleh diterus atau dibicarakan di mahkamah syariah, kita mohon PDRM boleh menghubungi pihak pendakwaan mahkamah syariah di Bangi untuk mendapatkan kertas siasatan serta bukti sudah dikumpul dan boleh teruskan siasatan.

“Pihak polis juga boleh membuat siasatan baharu berkenaan kes tersebut dan sekiranya cukup bukti boleh rujuk kepada pihak pendakwaan di Selangor dan boleh dituduh di mahkamah sivil di Selangor,” katanya di luar Balai Polis Seksyen 6 hari ini.

Pada 25 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan sebulat suara membenarkan cabaran undang-undang seorang lelaki, Iki Putra Mubarak terhadap Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Keputusan itu sekali gus mengenepikan undang-undang Syariah Selangor yang menetapkan seks di luar tabii sebagai jenayah.

Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel sembilan hakim berkata, kuasa utama untuk meluluskan undang-undang jenayah terletak pada Parlimen.

Beliau berkata, Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang memperuntukkan seks luar tabii boleh dihukum adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum ini, Iki Putra telah didakwa di Mahkamah Syariah pada 21 Ogos 2019 atas kesalahan meliwat yang dilakukannya di Bangi, Selangor.

Oleh kerana tidak berpuas hati dengan pertuduhan ini, Iki Putra telah mencabar peruntukan Seksyen 28 EJS 1995 dengan mendakwa negeri atau mahkamah syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggubal dan membicarakan kes jenayah liwat. – MalaysiaGazette