LONDON – Liverpool membuktikan pasukannya masih wujud dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Ia dibuktikan selepas anak buah bimbingan Jurgen Klopp merekodkan kemenangan terhadap Sheffield United dalam aksi liga awal pagi tadi.
Kemenangan itu sekali gus menamatkan prestasi buruk pasukannya dalam empat kekalahan berturut-turut sebelum ini.
Klopp berkata, kemenangan tiga mata penuh menentang the Blades penting untuk menghidupkan semula peluang mengejar empat tempat teratas bagi mara ke saingan Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan.
Pada separuh masa pertama, penjaga gol Blades, Aaron Ramsdale mempamerkan aksi memberangsangkan dengan menyelamatkan dua rembatan Liverpool untuk mengecewakan pasukan pelawat itu.
Namun, Curtis Jones menunjukkan sentuhannya yang selama ini ditagih the Kops dengan membuka gol pada minit ke-48 pada awal separuh masa kedua.
Malah Liverpool mengesahkan tiga mata penuh menerusi gol kedua hasil jaringan sendiri oleh pemain tuan rumah.
Rembatan Roberto Firmino terkena kaki Kean Bryan sebelum memasuki palang gol tuan rumah menyebabkan Ramsdale tidak terdaya untuk menepis gol kedua Liverpool itu.
“Ia merupakan gol ke-7,000 yang dijaringkan Liverpool semalam selepas Everton satu-satunya pasukan yang menjaringkan gol terbanyak iaitu sebanyak 7,108 gol setakat ini.
“Ramai yang telah menganggap kami sudah tidak wujud dalam saingan EPL kali ini, tetapi tidak mengapalah.
“Kemenangan malam ini bukti kami masih bernyawa dan ada dalam saingan EPL musim ini,” kata Klopp.
Dengan kemenangan itu Liverpool melonjak ke tangga keenam carta liga belakang West Ham yang menghuni tangga keempat.
Sheffield United kini berada dalam keadaan terdesak dan perlu kembali mempamerkan aksi luar biasa untuk mengelak penyingkiran dan terus kekal dalam saingan EPL musim hadapan.-MalaysiaGazette