Najib Razak

KUALA LUMPUR – Rancangan kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk mewujudkan sebuah syarikat tujuan khas (SPV) kerajaan bagi menjadi syarikat tunggal untuk membina infrastruktur 5G dengan peruntukan RM15 bilion dalam tempoh 10 tahun akan datang disifatkan sebagai model jauh berbeza dengan hampir semua negara dalam dunia.

Di negara-negara lain lesen 5G diberi secara tender terbuka dan kerajaan akan dibayar oleh telco (syarikat telekomunikasi) untuk hak membina infrastruktur sendiri dan menawarkan perkhidmatan 5G kepada pengguna.

Erti kata lain, kerajaan negara-negara lain akan dibayar berpuluh bilion ringgit oleh telco tetapi di Malaysia pula, kerajaan akan tanggung kos RM15 bilion untuk membina infrastruktur 5G secara sendiri pula.

Datuk Seri Najib Razak berkata, syarikat-syarikat telco sudah ada infrastruktur dan rangkaian 3G/4G sedia ada dan kos serta tempoh masa untuk mereka naik taraf ke 5G adalah lebih rendah.

Syarikat swasta juga boleh bergerak jauh lebih pantas berbanding syarikat kerajaan sebab persaingan antara telco untuk menarik dan mengekalkan pelanggan masing-masing adalah sangat sengit.

”Jika semua pelanggan guna satu infrastruktur sama yang disewa maka tiada lagi perbezaan bagi khidmat 5G antara telco. Jika signal 5G adalah teruk di satu kawasan maka semua telco sama teruk,” katanya dalam kenyataan di sini.

Bekas perdana menteri itu berkata, syarikat penarafan kredit antarabangsa Fitch juga memberi amaran tentang pelan 5G baru diumum kerajaan untuk syarikat kerajaan membina infrastruktur sebanyak RM15 bilion itu akan melambatkan pembangunan 5G di Malaysia dan membuka ruang untuk penyalahgunaan kuasa dan rasuah dalam proses pembangunan.

Lagi mengejutkan ialah pasukan bertindak 5G Suruhanjaya Komunikasi Multi Media (SKMM)  pernah menyediakan pelan bahawa pembinaan infrastruktur 5G untuk meliputi 90% negara hanya akan mengambil masa 5 tahun dengan kos RM7.5 bilion.

Najib berkata, beliau khuatir apabila kerajaan berjaya menyiapkan 5G mengikut rancangan mereka pada tahun 2031, dunia sudah beralih ke 6G, itupun jika kerajaan berjaya melaksanakan pelan mereka tanpa sebarang penangguhan.

Sebab itu, negara-negara jiran merancang untuk 5G siap dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, Singapura juga telah melancarkan perkhidmatan 5G tahun lepas.

Lagi membimbangkan, kata Najib, apabila Ananda Krishnan (yang juga pemilik Maxis dan Astro) telah dilantik untuk mengetuai syarikat SPV 5G kerajaan.

”Jika kita tersilap langkah dengan infrastruktur 5G, kesannya adalah paling parah bagi seluruh negara untuk puluhan tahun mendatang,” katanya. – MalaysiaGazette