Adham Baba The President of Malaysian Consultative Council for Islamic Organization (MAPIM), Mohd Azmi Bin Abdul Hamid. PIX: IQBAL BASRI / MalaysiaGazette / 01 SEPTEMBER 2018 double standard ministers quarantine Muhammad Sajjad Nur Sajat Islam Muslim
Mohd Azmi Abdul Hamid

KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) melihat langkah politik lompat parti antara pemimpin parti adalah perkara yang sangat memualkan.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, keadaan politik serang-menyerang dalam dan antara parti ketika rakyat menghitung kes Covid-19 dan kematian setiap hari yang terus tinggi menandakan politik rakyat hanya menjadi slogan kosong.

“Kini rakyat lapisan bawah menunggu suntikan vaksin Covid-19 sementara pemimpin politik atasan sudah menerima vaksinasi untuk dilindungi diri daripada Covid-19 bahkan rakyat bawahan terpaksa menunggu atas alasan bekalan vaksin terhad.

“Sementara itu, rakyat juga terus berhadapan dengan ekonomi yang sangat menghimpit. Antara mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ekonomi yang memakan masa untuk pulih, rakyat terpaksa bergelut untuk mencari pendapatan buat kelangsungan hidup.

“Sedangkan para wakil rakyat dan pemimpin kerajaan selesa dengan pendapatan yang jauh lebih terjamin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Azmi, ada sebab mengapa rakyat semakin bosan dengan ahli politik yang membuat keputusan tanpa mengambil kira perasaan pengundi.

“Perkara ini terjadi kerana pengundi telah ditabur dengan pelbagai janji dalam pilihanraya dan ahli politik mengutarakan bahawa parti merekalah yang paling layak dipilih, namun tiba-tiba mereka dengan mudah melompat parti tanpa merujuk kepada pengundi.

“Manakala, dalam tempoh kritikal menangani Covid-19 ini setengah pemimpin politik nampaknya mengutamakan kedudukan masing-masing dalam polimik politik dan memancing sokongan untuk mengekalkan kedudukan.

“Ini menunjukkan parti politik bagaikan pasar jualan ahli politik yang murah.” tambahnya.

Azmi melihat politik kepartian di negara ini semakin buruk dengan sikap ahli politik yang menjadi individu murahan untuk menjual diri kepada pihak yang sanggup membayar dengan bayaran tertinggi.

“Politik matang, politik penyatuan semuanya hanya retorik, bahkan atas nama politik Melayu-Islam, politik reformasi, politik anti kleptokrasi dan anti rasuah juga lupa bahawa rakyat telah bosan dengan tabiat ahli politik beretorik dan berslogan kosong.

“Ahli politik yang celupar dengan kenyataan saling menyerang di media perdana dan media sosial, menunjukkan kegilaan meraih populariti lebih penting daripada menyelesaikan isu rakyat.

“Malah, apabila ahli politik membuat keputusan melompat parti, jelas sekali yang diutamakan bukannya nasib pengundi tetapi kepentingan diri,” tegasnya.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, atas nama rakyat, wakil rakyat telah memutar belit kata-kata mereka untuk menjustifikasikan pengkhianatan dengan mengubah pendirian bagi berkonspirasi menjatuhkan antara ahli politik dan antara parti politik yang lain.

“Kami kesal politik negara sudah jatuh kepada paras yang sangat jijik. Demokrasi dipermainkan sedemikian rupa sehingga rakyat dipaksa untuk hanya memerhatikan gelagat politikus tanpa boleh berbuat apa-apa,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast