PUTRAJAYA – Proklamasi Darurat yang dilaksanakan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) ada tempoh tamatnya, kata Perdana Menteri.
Justeru itu menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin, Proklamasi Darurat bukan langkah untuk beliau terus kekal berkuasa seperti dakwaan sesetengah pihak.
“Saya sedar dan saya faham maksud demokrasi. Justeru, tidak ada satu pun daripada ordinan ini yang bertujuan untuk membolehkan Perdana Menteri kekal berkuasa selama-lamanya.
“Malah, darurat yang sedang dilaksanakan ini juga mempunyai tempoh tamat pada 1 Ogos 2021. Inilah kali pertama dalam sejarah negara kita, darurat mempunyai tempoh tamat,” katanya dalam ucapan amanat perdana setahun Malaysia Prihatin, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.
Turut hadir empat Menteri Kanan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Fadillah Yusof, dan Datuk Dr Radzi Jidin.
Dalam pada itu, Muhyiddin turut mengulangi bahawa Proklamasi Darurat yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong adalah semata-mata untuk mengatasi Covid-19.
“Sepertimana yang saya telah tegaskan berulang kali, saya menjunjung Perlembagaan dan prinsip demokrasi.
“Apabila masalah Covid-19 telah dapat diatasi, saya akan menasihati Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen supaya pilihan raya boleh diadakan dan rakyat bebas memilih kerajaan mana yang layak untuk memerintah.
“Buat masa ini, berilah ruang kepada kerajaan untuk tumpukan sepenuh perhatian kepada usaha mengawal penularan wabak ini,” katanya.
Muhyiddin sebelum ini membuat pengumuman pengisytiharaan Proklamasi Darurat yang berkuatkuasa pada pertengahan Januari lalu dilaksanakan sehingga 1 Ogos depan atau sehingga suatu tarikh lebih awal jika penularan Covid-19 dapat dikawal.
Malah Jawatankuasa Khas Bebas Darurat juga telah ditubuhkan antara lain berperanan menasihati Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung tarikh penamatannya. – MalaysiaGazette
Piem pling lemah dlm sejrah
DEB 30% dihadkan untuk majority pribumi Melayu tiada tempoh tamat supaya bukan pribumi terus-menerus dapat 70% ekonomi walaupun bercanggah dan mencabuli Kontrak Sosial dan hak perlembagaan keistimewaan Melayu, kan?