KUALA LANGAT – Sebanyak 1,336 kes pembakaran terbuka direkodkan Jabatan Penyelamat dan Bomba Malaysia (JPBM) sejak Januari hingga semalam.
Pengarahnya, Norazam Khamis berkata, daripada jumlah itu, 322 kes melibatkan pembakaran terbuka di kawasan hutan.
“Kebakaran di hutan kecil yang dapat kita padam sebanyak 322 kes, manakala melibatkan kebun sebanyak 128 kes dan kebanyakan di kawasan Johan Setia.
“Bagi kebakaran melibatkan belukar dan lalang pula sebanyak 662 kes dan pembakaran sampah haram 264 kes,” katanya pada sidang media di kompartment 15, Hutan Simpan Kuala Langat Selatan (HSKLS), hari ini.
Hadir sama Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Hal Ehwal Orang Asal Selangor, Hee Loy Sian.
Terdahulu Norazam memberi taklimat mengenai kebakaran terbuka melibatkan HSKLS yang mana operasi pemadaman itu dimulakan sejak semalam.
Dalam pada itu, Norazam melahirkan rasa bimbang terhadap peningkat kes pembakaran terbuka yang kini mencecah 80 kes setiap hari.
“Dalam dua minggu terakhir ini kita menerima peningkatan kes yang sangat tinggi di mana satu hari hampir 80 kes yang perlu diselesaikan oleh JPBM, tidak termasuk di HSKLS.
“Di kawasan HSKLS ini, kita baru selesai di kompartment 27 dan 38, kes berlaku pada pertengahan Februari dan kita baru selesai pemadaman.
“Semalam kita mula beroperasi di sini (kompartment 15 HSKLS),” katanya lagi. – MalaysiaGazette