Pemilik Cafe De Daun, Zanifah Md Noor di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI.

KUALA LUMPUR- Berinfaq ketika susah, bukan sesuatu yang mudah.

Logiknya, bagaimana mahu membantu orang lain sedangkan diri sendiri juga sedang berada dalam kesempitan.

Namun percayalah, masih ada insan-insan ‘berhati emas’ yang sanggup berkongsi rezeki yang sedikit demi untuk membantu orang lain yang difikirkan lebih memerlukan terutama dalam kemelut kesan pandemik Covid-19.

Bagi seorang pengusaha makanan, Zanifah Md Nor, perniagaannya terjejas teruk akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pandemik yang melanda sejak lebih setahun yang lalu.

Sebahagian pelajar mengambil makanan secara percuma yang disediakan oleh pemilik Cafe De Daun, Zanifah Md Noor di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI.

Strategi perniagaan terpaksa diubah, sistem penggiliran pekerja juga terpaksa dilaksanakan kerana perniagaan tidak dapat beroperasi seperti hari-hari sebelum dunia dibadai Covid-19.

Biarpun berat beban kewangan yang dipikul namun beliau tidak sampai hati melihat mahasiswa terutama daripada golongan miskin menahan lapar di kampus kerana tidak mempunyai belanja yang cukup untuk makan.

“Berinfaqlah ketika susah..waktu senang, memang lebih mudah untuk kita memberi malah kita mampu bersedekah dengan lebih banyak tetapi apabila kita dalam kesusahan, infaq ini membuatkan kita melawan ego sendiri, melawan sifat kedekut dalam diri sendiri.

“Jangan risau tentang rezeki yang hilang apabila kita berinfaq.

“Memang kita fikir, buat apa aku keluar duit yang memang sudah tinggal sedikit untuk membantu orang lain sedangkan wang tersebut boleh dijadikan modal untuk perniagaan.

“Percayalah, kalkulator tuhan tidak sama dengan kalkulator kita.

“Pasti ada rezeki yang diberikan-Nya nanti, bukan bermakna selepas berinfaq kita akan jadi kaya atau jutawan tetapi banyak rezeki lain yang akan dianugerahkan tuhan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Universiti Malaya baru-baru ini.

Temubual bersama Pemilik Cafe De Daun, Zanifah Md Noor menyerahkan makanan kepada pelajar-pelajar di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI.

Zanifah yang merupakan pengusaha Kafe De’Daun di Universiti Malaya itu akan memasak kira-kira 100 hingga 200 pek makanan untuk diagihkan kepada para pelajar di Kolej Kediaman Keempat dan Kolej Kediaman Ke-11 universiti berkenaan yang tidak dapat pulang ke kampung akibat PKP.

Program itu diadakan pada setiap Jumaat dan terbuka kepada semua pelajar berdasarkan siapa cepat dia dapat.

Pada asalnya, program berkenaan dirancang untuk pelajar B40 sahaja tetapi ramai yang malu-malu untuk menerima makanan tersebut, maka ianya dibuka kepada semua.

Bagaimanapun, beliau tetap menyediakan sekurang-kurangnya lima pek makanan percuma kepada pelajar-pelajar miskin yang telah dikenal pasti pihak kolej pada setiap hari.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast