KUALA LANGAT – Kerajaan Selangor menjangka usaha memadamkan kebakaran Hutan Simpan Kuala Langat Selatan (HSKLS) dapat diselesaikan antara empat hingga enam minggu lagi.
Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau serta Hal Ehwal Orang Asal Selangor, Hee Loy Sian bagaimanapun berkata, operasi pemadaman itu bergantung kepada keadaan cuaca semasa.
“Keadaan cuaca yang amat panas dan berangin memburukkan lagi keadaan sehingga berlaku rebakan kebakaran dengan lebih luas.
“Kebakaran ini melibatkan kawasan hutan sekunder yang terdiri daripada spesies seperti machang, sendayan, resam, lalang, tanaman kontan peneroka dan lain-lain,” katanya pada sidang media hari ini.
Terdahulu Loy Sian diberi taklimat mengenai operasi pemadaman bersepadu di kompartment 15, HSKLS oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Norazam Khamis.
Hadir sama Pegawai Daerah Kuala Langat, Mohd Jusni Hashim; Pengarah Perhutanan Selangor, Datuk Ahmad Fadzil Abdul Masjid dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar Selangor, Noraziah Jaafar.
Dalam pada itu, JPNS telah mengesan sejumlah 16 titik panas baharu di HSKLS dan hasil semakan mendapati anggaran keluasan terbakar adalah 26 hektar.
“Kebakaran ini disyaki berpunca daripada aktiviti pembakaran terbuka di kawasan teroka tanpa kebenaran dan tanah berimilik bersempadan dengan hutan simpan,” jelasnya.
Menurut Loy Sian, setakat ini, kawasan kebakaran melibatkan kira-kira 34 hektar atau 0.45 peratus daripada 7,416 hektar keseluruhan kawasan HSKLS.
“Lanjutan daripada itu, mesyuarat penyelarasan telah diadakan pada 28 Februari 2021 di Balai Bomba KLIA dan bersetuju untuk menggerakkan operasi pemadaman bersepadu pada 1 Mac 2021 sehingga api terpadam.
“Bermula 1 Mac 202, operasi bersepadu pemadaman kebakaran telah digerakkan dengan melibatkan senarai kira-kira 130 tenaga kerja.
“Selain JPNS dan JPBM, Unit Pengurusan Bencana, Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat, Jabatan Mineral dan Geosains Selangor turut membantu dalam operasi ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette