Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (kanan) menyaksikan pemantauan bencana pada lawatan kerja ke Pusat Operasi Smart Selangor di Shah Alam, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 03 MAC 2021.

SHAH ALAM – Selangor menjadi negeri pertama di negara ini yang mempunyai pusat kawalan dilengkapi kecekapan menganalisis data.

Ia dikenali Smart Selangor Operations Center (SSOC) dan kosnya  menelan belanja RM6 juta itu mempunyai keupayaan untuk beroperasi selama 24 jam dan lengkap dengan jaringan internet berkelajuan tinggi.

Selain itu, SSOC juga menjadi pusat data hibrid dan sistem komunikasi berpusat serta Smart Data Platform yang dilengkapi dengan keupayaan Big Data Analytics untuk membantu analisa sebarang data operasi yang diperlukan.

Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, SSOC merupakan salah satu daripada 60 inisiatif Smart Selangor yang merupakan struktur asas kepada pengurusan negeri pintar sejajar dengan hasrat kerajaan negeri yang digariskan sejak tahun 2016.

“SSOC diwujudkan bagi menempatkan beberapa agensi penting yang melibatkan operasi harian seperti laluan dan perjalanan bas Smart Selangor, kutipan sisa pepejal dan keselamatan serta pengurusan kejadian bencana seperti pembakaran terbuka, pencemaran dan banjir.

“SOCC juga berupaya memberi maklum balas serta maklumat terkini berkenaan usaha kerajaan negeri dalam menangani pandemik Covid-19 melalui Selangor Task Force yang turut beroperasi di sini,” katanya dalam sidang media di Dewan Jubli Perak di sini hari ini.

Terdahulu Amirudin bersama barisan Exco kerajaan negeri meninjau dan mendengar taklimat pengoperasian SSOC yang terletak di dewan tersebut.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya dalam perancangan untuk terus memperluaskan ekosistem pusat kawalan berkenaan dengan melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pejabat tanah.

Setakat ini empat PBT telah dikenalpasti iaitu Majlis Daerah Hulu Selangor, Majlis Daerah Kuala Selangor, Majlis Perbandaran Kuala Langat dan Majlis Bandaraya Subang Jaya.

“Menerusi sesi taklimat yang berlangsung kita dapat lihat SSOC bukan sahaja mempunyai data tetapi kita boleh menganalisis data-data tersebut.

“Apa yang ditunjukkan tadi bagaimana kita menguruskan potholes. Data yang ditunjukkan kepada kita banyak laporan-laporan yang sampai itu telah diuruskan dengan segera melalui sistem laporan pekerja dan juga aplikasi Waze dimana ada peningkatan kualiti perkhidmatan sehingga ke tahap lebih 90 peratus.

“Kalau sebelum ini laporan potholes itu yang kita dapat cuma sekitar 30 peratus tetapi sekarang ia nya mencapai sehingga 90 hingga 100 peratus untuk beberapa PBT dan local council.

“Ia juga menunjukkan bagaimana kutipan sisa pepejal seperti lokasi lori, perjalanan dan sebagainya. Semua ini ada di dalam ‘brain’ pentadbiran SSOC,” ujarnya.

Tambah Amirudin, kecekapan SSOC akan terus diperlebarkan lagi selepas ini menerusi jaringan perkhidmatan keselamatan kamera litar tertutup yang memerlukan kemudahan serta kemampuan teknologi yang tinggi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast