Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Tan Sri Annuar Musa membidas Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dalam diam-diam mengutus surat pemberitahuan untuk tidak bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu berkata, tidak ada keperluan untuk UMNO berbuat demikian kerana pada awal menjalin kerjasama antara parti, tidak ada pun surat menyurat dibuat.

“Justeru, tiada keperluan untuk diam-diam mengutus surat pemberitahuan untuk tidak bekerjasama,” katanya menerusi Facebooknya hari ini.

Beliau mengulas tindakan UMNO menghantar surat kepada Perdana Menteri berhubung keputusan Majlis Tertinggi (MT) parti itu untuk menamatkan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PN menjelang PRU15 ini.

Sebuah portal yang memetik sumber melaporkan, surat pemakluman itu telah dihantar kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu pada 26 Februari lalu.

Namun, hari ini, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dilaporkan berkata, mesyuarat biro parti itu, yang dipengerusikan Muhyiddin semalam, telah membincangkan berkaitan surat berkenaan.

Biro Politik Bersatu mengambil ketetapan bahawa pendirian parti itu akan diputuskan dalam mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) parti petang ini dan akan dibincangkan juga dalam mesyuarat MT PN akan datang bersama parti komponen Pas, STAR, SAPP dan Gerakan.

Menurut Annuar, UMNO tidak perlu mengutus surat sedemikian kerana (masa depan pemimpin) masih jauh ke hadapan dan tempoh penggal PRU15 pula tamat pada tahun 2023.

“Macam-macam perkara boleh berlaku dalam tempoh yang panjang itu. Ia meletakkan parti pada posisi yang buruk.

“Apa lagi di saat parti perlu melalui pemilihan yang wajib tahun ini. Dasar parti semasa pilihanraya akan datang bakal ditentukan pemimpin yang memimpin semasa PRU diadakan.

“Banyak perkara boleh berlaku antara sekarang hingga tempoh Parlimen dibubarkan. Dengan pendirian pramatang ini, kita telah menjadikan diri kita tempang dan kuasa tawar menawar dalam kerajaan menjadi lemah,” katanya.

Beliau memberitahu, apa yang berlaku dalam UMNO ketika ini akan memberi kesan tidak baik kepada ahli di peringkat akar umbi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast