Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Presiden kelab La Liga, Valencia iaitu Anil Murthy menegaskan pemilik kelab itu, Peter Lim tidak bercadang untuk menjual pasukan itu meskipun terdapat minat daripada pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Anil memberitahu, beliau telah berbincang dengan Peter selepas Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) memuat naik kenyataan di Instagram Story miliknya.

Jelas Anil, jutawan dari Singapura itu tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menjual kelab tersebut.

“Rakan sekerja saya telah memberitahu mengenai kenyataan TMJ di laman Instagram. Saya telah berbincang bersama Peter dan beliau tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menjual kelab ini,” kata Anil.

Peter dan Anil kini menjadi sasaran kritikan peminat Valencia yang mahu dua individu itu  meninggalkan pasukan tersebut dan menjual kepada pihak lain yang lebih memahami mengenai bola sepak.

Sejak menjadi pemilik kelab itu pada 2014, Peter telah membuat keputusan yang dianggap merugikan oleh peminat seperti menukar pengurus tanpa sebab yang kukuh serta menjual pemain bintang pasukan.

Valencia ketika ini menduduki tangga ke-14 dalam carta La Liga, mengutip 27 mata daripada 25 perlawanan yang dihadapi setakat ini dan dibezakan lima mata dari zon penyingkiran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast