BUKIT MERTAJAM – Misteri kematian seorang ibu terungkai selepas anaknya terhidu bau busuk dari bilik yang didiami wanita berkenaan.
Lebih memilukan, mayat Heng Gaik Choo,51, ditemui atas katil oleh anaknya dalam keadaan membengkak di kediaman mereka di Taman Impian di sini semalam.
MalaysiaGazette difahamkan, mangsa tinggal bersama tiga orang anaknya di rumah tersebut selepas kematian suaminya.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mayat tersebut pada jam 8.05 malam sebelum sepasukan polis dikerahkan ke lokasi kejadian.
Katanya, hasil siasatan mendapati salah seorang anak mangsa terhidu bau busuk sebelum menghubungi adiknya bagi memaklumkan kejadian.
“Susulan itu, adik pengadu bersama rakannya membuka pintu bilik yang didiami ibu mereka sebelum menemui wanita itu dalam keadaan terbaring di atas katil serta tidak sedarkan diri.
“Hasil pemeriksaan pihak forensik di lokasi kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah dan mayat mangsa sudah membengkak dan berbau,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Tambah Shafee, mayat mangsa dihantar ke Hospital Bukit Mertajam bagi proses bedah siasat.
“Pemeriksaan Covid-19 akan dibuat terlebih dahulu sebelum proses bedah siasat dilakukan.
“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu laporan bedah siasat,” ujar Shafee. -MalaysiaGazette
Anak pun bukan nak ambil tahu sangat tentang ibunya. Banyak yang jadi begitu