Nasrul Ali Hasan (dua dari kiri) bersama kepimpinan Wira Putra Malaysia menunjukkan laporan yang dibuat di pejabat SPRM Putrajaya, hari ini.

PUTRAJAYA – Pergerakan Wira Putra Malaysia membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini, berhubung dakwaan tawaran duit dan jawatan serta cubaan membeli Ahli Parlimen bagi menyokong Perdana Menteri.

Ketuanya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, sayap parti itu terkejut dengan pendedahan Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail yang mendakwa ada dua orang menemuinya dan cuba menyogok supaya berpaling tadah dari partinya.

Menurut beliau, nilai cubaan berpaling tadah ditawarkan kira-kira RM10 juta, selain dijanjikan jawatan.

“Kita melihat dakwaan ini amat serius dan menjejas integriti Perdana Menteri. Justeru, bagi menentukan kesahihan dakwaan ini, Wira Putra memohon SPRM menyiasat segera dengan memanggil dan merekodkan kenyataan mereka.

“Perdana Menteri juga perlu memberi penjelasan dengan dakwaan ini kerana turut melibatkan namanya. Tohmahan itu mencalar imej kerajaan dan institusi Parlimen Malaysia serta harus dibersihkan segera,” katanya.

Sebelum ini, Natrah mendakwa telah dikunjungi dua individu termasuk seorang bergelar ‘Dato’ Seri’ pada Rabu lalu.

Katanya, dalam pertemuan itu, mereka menceritakan bagaimana beliau telah melakukan kerja yang baik di Sekijang dan keinginan mereka untuk membantunya meneruskan usaha sebagai seorang Ahli Parlimen.

“Mereka bertanya apakah saya berminat untuk memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta manfaat yang boleh diperolehi dengan pemberian sokongan tersebut.

“Saya dengan terang dan jelas menjawab, tidak berminat dan menolak tawaran mereka. Bagi saya, tiada erti mendapat manfaat apa sekalipun jika saya berpaling tadah dari perjuangan reformasi dan melanggar sumpah yang saya lafaz apabila menjadi seorang Ahli Parlimen.

“Saya telah melaporkan perkara ini kepada pucuk pimpinan PKR kerana saya percaya usaha jahat untuk menawar habuan dan jawatan atau mendesak serta mengugut Ahli-ahli Parlimen PKR serta pembangkang amnya terus berjalan,” kata Natrah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast