Che Abdullah Mat Nawi, melepaskan pelbagai spesis ikan di sungai Leban bagi meningkatkan stok ikan perikanan darat dan sumber perikanan darat dalam menjamin bekalan makanan.

KUALA LUMPUR – Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) melepaskan pelbagai spesies ikan seperti kelah, baung, lampam sungai dan udang galah yang bernilai RM379,668 di tiga lokasi di Sg. Leban hari ini yang diperoleh dari Pusat Pengembangan Akuakultur (PPA) Jabatan Perikanan dan perolehan pusat swasta.

Bagi tahun ini, sebanyak 5,000 ekor benih lampam sungai bernilai RM10,000, telah dilepaskan ke Sg. Leban, Tasik Kenyir pada 2 Februari lalu.

Program Pelepasan Benih di Tasik Kenyir pada tahun 2020 merekodkan sebanyak 935,460 benih pelbagai spesies iaitu kelah, temoleh, sebarau, lampam sungai, terbul, baung dan udang galah telah dilepaskan bernilai sebanyak RM550,460 secara berperingkat bermula pada Julai hingga November 2020.

DOF berkata, sebanyak RM1 juta telah diperuntukkan khusus untuk pembangunan dan pemuliharaan sumber perikanan darat mampan melalui pengkayaan sumber dan habitat, pemantauan ekosistem serta penubuhan kawasan konservasi perikanan darat.

”Bagi menilai keberkesanan program pelepasan yang telah dilaksanakan sepanjang tahun 2021, jabatan bercadang untuk mengadakan kajian inventori di Sg. Leban pada pertengahan tahun 2021.

”DOF berharap program ini akan dapat mencapai objektif bagi meningkatkan stok ikan air tawar di perairan berkenaan,” katanya di sini.

Pelepasan benih ikan ke Tasik Kenyir disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, bertujuan bagi meningkatkan stok ikan perikanan darat dan sumber perikanan darat dalam menjamin bekalan makanan.

Ia juga bagi meningkatkan sosio-ekonomi nelayan darat di sungai dan juga tasik.

Program Pelepasan Sejuta Benih Ikan di Tasik Kenyir tahun ini merupakan program Jabatan Perikanan Malaysia dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Masa aku budak dulu parit kampung aku banyak udang galah waktu air parit pasang tetapi disebabkan baja kimia di sawah bendang udang galah hampir semakin pupus.

Comments are closed.