Walaupun dihambat arus kemodenan, permintaan terhadap atap nipah masih lagi mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Pengusaha, Masbudi Abdul Malek, 35, dari Kampung Kuantan, Kuala Selangor mewarisi perusahaan bapanya, Abdul Malek Puteh sejak 17 tahun yang lalu.
Menurut Masbudi, permintaan yang berterusan daripada pelanggan kadang kala membuatkannya tidak menang tangan untuk menyiapkan tempahan.
“Lebih-lebih lagi bila diiklankan menerusi media sosial, memang sambutan amat menggalakkan,” katanya.
Tambah Masbudi, atap nipah masih menjadi pilihan masa kini kerana keupayaan untuk menyejukkan kediaman dan membuatkan suasana sesuatu ruang lebih nyaman.
Sementara itu, berkongsi pengalaman menghasilkan atap tradisional itu, pekerja, Jamaluddin Zakaria berkata, dia akan menaiki sebuah bot untuk ke kawasan hutan paya dengan menyusuri Sungai Selangor bagi mencari daun nipah tua.
“Selain itu, cabaran paling getir yang pernah saya hadapi adalah serangan haiwan liar dan berbisa seperti babi atau ular,” katanya.
Jamaluddin berkata, selepas selesai mencari daun nipah tua, seorang lagi pekerja, Zainab Daud, 67, siap sedia menunggu di bawah sebatang pokok bagi menjalankan kerja-kerjas menjahit daun.
Tambah Zainab, kerja mengikat atau menjahit daun nipah untuk dijadikan atap memerlukan kesabaran dan kemahiran yang tinggi kerana ia perlu dilakukan secara teliti supaya hasilnya tampak kemas dan berkualiti.
Orang ramai yang meminati atap tradisional ini dan ingin mendapatkannya boleh menghubungi Masbudi menerusi nombor 012-4064712.