Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin berucap ketika hadir ke Majlis Pelancaran Council Of Malaysian Women Political Leaders (COMWEL) di Hotel Wyndham Acmar, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 08 MAC 2021.

KLANG – Majlis Pemimpin Politik Wanita Malaysia (COMWEL) dijangka mencadangkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan peratus kerusi Parlimen diperuntuk kepada calon wanita.

Presidennya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, usaha itu bagi membolehkan golongan wanita memenuhi kouta 30 peratus dalam Dewan Rakyat pada pilihan Raya akan datang.

“Kita akan mencadangkan kepada Pengerusi SPR untuk mempertimbangkan kerusi Parlimen tentu untuk wanita dalam pilihan raya akan datang.

“Ia tak sudah nak buat, tetapkan 30 peratus daripada 222 kerusi Parlimen, kira-kira 67 kerusi Parlimen untuk calon wanita.

“Dengan cara itu kita boleh mencapai 30 peratus kouta ahli Parlimen dalam kalangan wanita,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran COMWEL, di Wyndham Acmar hari ini.

Dalam PRU-14 pada 9 Mei 2018, seramai 33 ahli Parlimen atau 14 peratus dalam kalangan wanita direkodkan di negara ini.

Bagaimanapun jumlah itu masih ketinggalan jauh berbanding negara Asia lain termasuk Thailand, Indonesia.

Dalam pada itu, Zuraida juga tidak menolak kemungkinan cadangan itu akan diserahkan kepada Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh dalam masa terdekat.

“Belum lagi, selepas tertubuhnya COMWEL baru kita hantar supaya badan yang betul untuk menghantar cadangan itu. Kita akan hantar cadangan kerusi untuk calon wanita itu secepat mungkin,” katanya.

Katanya lagi, cadangan itu sesuai dengan penubuhan COMWEL yang menyediakan ruang lebih luas untuk golongan wanita di negara ini untuk berkembang.

“COMWEL memperjuangkan agenda pemberdayaan wanita dan pengarusperdanaan gender khususnya dari segi kepimpinan dan representasi wanita sebagai pembuat keputusan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Cadangan merepek..dari satu segi kononnya berjuang agar wanita dilayan secara adil dengan lelaki..tp dari segi yg lain minta kuota2 plak..bersainglah dgn lelaki secara terbuka..dah mcm OKU plak pakai kuota2..lawak!

Comments are closed.