KUALA LUMPUR – Perak negeri pertama akan merujuk kepada Pejabat Peguam Negara untuk mendapatkan pandangan dan nasihat bagi membolehkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) diadakan dalam tempoh pengisytiharan darurat ini.
Yang Dipertua DUN, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, pihaknya telah memaklumkan perkara itu kepada Penasihat Undang-Undang yang kemudian akan merujuk kepada Pejabat Peguam Negara untuk mendapat kepastian.
Setakat ini, katanya, pihak DUN negeri belum mendapat sebarang jawapan dari Pejabat Peguam Negara sama ada boleh atau tidak dewan undangan negeri bersidang.
“Majoriti wakil rakyat dari kerajaan mahupun pembangkang telah memberi pandangan dan cadangan masing-masing agar sidang DUN diadakan dan maklum balas dari mereka ini kita bawa kepada Penasihat Undang-Undang.
“Tunggu lagi Penasihat Undang-Undang akan merujuk kepada Pejabat Peguam Negara untuk mendapatkan jawapannya,” katanya di Ipoh, hari ini.
Sidang Parlimen dan DUN negeri digantung bermula pada 12 Januari lalu, serentak dengan pengisytiharan Proklamasi Darurat oleh Yang di-Pertuan Agong.
Tempoh penggantungan itu berakhir pada 1 Ogos ini atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memberi perkenan supaya darurat dilaksanakan di seluruh negara sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19. – MalaysiaGazette