Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi lokaliti Felda Jengka 1, Felda Jengka 2, Felda Jengka 7 dan Felda Ulu Jempol, Maran, Pahang mulai hari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penamatan itu berikutan trend penurunan kes positif Covid-19 yang dilaporkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya, sehingga kini, KKM telah melaksanakan 471 ujian saringan dan daripada jumlah tersebut secara kumulatif hanya satu kes telah dilaporkan yang melibatkan lokaliti berkenaan.

Ismail Sabri Yaakob

“KKM telah mengesahkan kes positif hanya dikesan dalam Felda Ulu Jempol dan semua kontak rapat, kumpulan sasaran dalam kalangan penduduk telah dikenalpasti, disampel dan diasingkan.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD kawasan ini hari ini, iaitu lebih awal daripada tarikh dijadualkan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Mengenai saringan wajib pekerja warga asing, beliau berkata, seramai 3,629 orang telah menjalani ujian saringan Covid-19 dan daripada jumlah itu, 56 orang didapati positif semalam.

Menurutnya, secara kumulatifnya, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan seramai 589,220 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 yang melibatkan 30,800 majikan.

“Daripada jumlah itu, seramai 9,381 orang telah disahkan positif Covid-19, manakala 579,839 lagi adalah negatif.

“Sehingga kini, sebanyak 1,513 klinik telah terlibat dengan program saringan ini dan ujian saringan ini diwajibkan kepada semua pekerja warga asing mulai 1 Februari lalu,” kata beliau.

Berhubung kuarantin wajib, Ismail Sabri menjelaskan, seramai 983 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan semuanya telah dikuarantin di stesen kuarantin di seluruh negara.

Secara kumulatifnya, kata beliau, sejak 24 Julai tahun lalu, seramai 140,154 individu telah pulang ke tanah air dan semua mereka ditempatkan di 80 hotel dan 11 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di seluruh negara.

Katanya, daripada jumlah itu, 7,477 individu telah dikuarantin dan seramai 131,774 orang dibenarkan pulang, manakala 903 lagi dibawa ke hospital. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast