Nurul Huda Ahmad

KUALA LUMPUR – Pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia telah menukar lanskap tugas wanita terutama suri rumah.

Pengerusi Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia (SRR), Nurul Huda Ahmad Nawawi berkata, penutupan hampir seluruh sektor ekonomi dan pendidikan menyebabkan semua ahli keluarga berada di rumah sepanjang masa.

“Keadaan suami yang perlu bekerja dari rumah dan anak-anak yang tidak dapat ke sekolah menjadikan bebanan tugas suri rumah bertambah lebih dari biasa.

“Hal ini berlaku kerana suri rumah terus-menerus bertanggungjawab memastikan setiap inci kehidupan lebih baik daripada segi penyediaan makanan dan pakaian, membantu anak-anak dalam pembelajaran secara online sehinggalah menguruskan emosi setiap ahli keluarga di kala pandemik melanda.

“Lebih menyedihkan lagi, kesibukan ini menyebabkan suri rumah tidak berkesempatan untuk memberi penumpuan terhadap kesihatan dirinya sendiri dari segi mental dan fizikal,” katanya dalam kenyataan hari ini sempena Hari Wanita 2021 hari ini.

Justeru menurut Nurul Huda, tema Hari Wanita Antarabangsa 2021 iaitu ‘Wanita Bangkit Mendepani Cabaran’ bertepatan dengan keadaan semasa.

Selain itu senario yang sama  turut memberi kesan kepada kadar penyertaan tenaga buruh wanita pada tahun 2020.

“Data dari Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan kadar penurunan 55.6 peratus pada Januari 2020 kepada 55.1 peratus pada Disember 2020.

“Bebanan tugas tambahan di rumah yang digalas oleh wanita menyebabkan mereka memilih untuk bekerja sendiri atau menjadi suri rumah.

“Nyata situasi ini telah memberi tekanan yang besar dari segi emosi dalam kalangan suri rumah,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Nurul Huda berkata, wanita khususnya suri rumah haruslah berganding bahu dan saling menyokong antara satu sama lain.

“Gunakan kesempatan pasca pandemik ini untuk mencari peluang meningkatkan jati diri dan kemahiran untuk persediaan menghadapi cabaran di masa hadapan.

“Sebagai sebuah platform sistem sokongan, Persatuan SRR akan terus berusaha menjadi medium untuk memberdaya golongan suri rumah melalui pelbagai program dan aktiviti yang dirangka khas.

“Kami menyeru pelbagai pihak untuk bersama-sama kami dalam usaha melatih dan memimpin para suri rumah untuk bangkit berperanan bagi mendepani cabaran,” tegasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast