Kesan pendarahan pada bawah mata bayi berusia tujuh bulan dipercayai didera.

BUTTERWORTH – Seorang pembantu kedai ditahan selepas disyaki mendera bayi lelakinya dalam satu kejadian di Apartmen Luminari di sini semalam.

Perbuatan wanita berusia 25 tahun itu terbongkar selepas bayi yang dalam penjagaannya dihantar ke rumah suaminya pada Sabtu lalu.

Difahamkan, suspek dan suaminya tidak tinggal bersama susulan perselisihan faham berkaitan hubungan mereka.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada bapa mangsa yang juga seorang mekanik.

Katanya, hasil siasatan mendapati bayi berkenaan dihantar pada jam 4.30 petang ke rumah pengadu di Kuala Bekah, Padang Benggali oleh isterinya.

Kesan lebam pada seorang bayi lelaki dipercayai mangsa dera ibu kandungnya.

“Pengadu meminta kakak iparnya mandikan anak lelakinya itu sebelum dimaklumkan terdapat kesan lebam pada bahagian badan dan mata mangsa.

“Susulan itu, pengadu membawa mangsa ke Hospital Seberang Jaya untuk pemeriksaan sebelum pihak hospital mengesahkan ada lebam pada dahi, muka serta perut mangsa.

“Selain itu, terdapat pendarahan pada mata kanan mangsa namun keadaan bayi aktif tanpa sebarang kecederaan serius,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ibu kandung ditahan dera anak lelaki berusia tujuh bulan.

Menurut Noorzainy, hasil siasatan lanjut ke atas suspek dia mendakwa mangsa terjatuh dari buai ketika dalam jagaan kawan-kawan lelakinya di Apartment Luminari menyebabkan kecederaan tersebut.

“Bagaimanapun, keterangan diberikan suspek meragukan sebelum kita menahannya bagi membantu siasatan.

“Hasil ujian air kencing mendapati wanita itu positif dadah dan kita juga tidak menolak kemungkinan suspek serta kawan-kawannya penagih dadah.

“Semakan juga mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah,” kata beliau.

Tambah Noorzainy, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengiku Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. -MalaysiaGazette