Thomas Trucha

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Penang FC, Tomas Trucha meletakkan kepercayaan tinggi ke atas semua pemain untuk memberi tentangan sengit kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi kedua Liga Super 2021 meskipun mengakui perlawanan yang cukup sukar akan dihadapi mereka di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.

Selepas anak buahnya mempamerkan prestasi memberangsangkan berdepan Kuala Lumpur City FC Sabtu lalu untuk meraih tiga mata pertama, Trucha percaya mereka kini dalam momentum terbaik untuk meneruskan persembahan yang lebih garang bagi mengatasi juara Piala Sumbangsih 2021 itu.

Gandingan yang cukup baik di benteng pertahanan menerusi pemain Ryuji Utomo dan Rafael Vitor selain penjaga gol, Samuel Somerville yang berjaya melakukan “clean sheet” pertama tempoh hari menyaksikan Penang FC dijangka mampu untuk memberi kesukaran kepada asakan JDT selain mengharapkan mereka turut mampu menembusi gawang tuan rumah lebih awal.

Mengakui rekod yang dimiliki skuad kendalian Benjamin Mora itu meletakkan mereka sebagai pasukan yang sukar diatasi ketika ini, Trucha bagaimanapun sudah bersedia dengan perancangan terbaik dalam usaha menidakkan pergerakan lawan untuk menguasai keseluruhan perlawanan malam esok.

“Saya berpuas hati apabila kami dapat memulakan aksi dengan baik untuk meraih tiga mata pertama, dan sememangnya sasaran kami memang untuk mulakan aksi pertama Liga Malaysia dengan langkah kanan.

“Seterusnya adalah berdepan JDT di mana kami menghormati mereka sebagai pasukan yang kuat, dan Penang FC selaku pendatang baharu Liga Super akan cuba sehabis baik untuk mendapatkan keputusan terbaik pada malam ini.

“Saya memang menantikan aksi menentang JDT kerana apabila kita berdepan lawan kuat, daripada situ kita boleh lihat pasukan ini berada di tahap mana dan boleh nilai balik dekat mana kelemahan ketara yang ada selepas perlawanan.

“Apa-apa pun, kami sudah bersedia dengan segala pelan untuk memastikan pasukan mampu memberi kesukaran kepada JDT dan mengharapkan kita tidak tewas dengan mudah”, jelasnya kepada Liga Bola Sepak Malaysia di sini. – MalaysiaGazette