Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau

JOHOR BAHRU – Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon menegaskan tindakannya menyokong Perikatan Nasional (PN) adalah kerana dia ingin memastikan agar dapat menjalankan tugasnya dengan baik selaku wakil rakyat, bukan sahaja di peringkat negeri malah juga di peringkat nasional.

“Untuk lakukannya, saya kena ada platform. Saya tidak minta jawatan sebagai menteri sebaliknya hanya mahukan akses supaya isu nasional seperti pencemaran boleh sampai kepada menteri yang berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyertai lawatan kerja Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ke Sungai Kim Kim, di sini hari ini.

Pada 28 Feb lepas, Choong dan Ahli Parlimen Julau, Sarawak, Larry Sng Wei Shien menyatakan mereka menyokong kerajaan PN, dan ia disahkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui laman Facebook miliknya yang memaklumkan telah menerima akuan bersumpah daripada dua Ahli Parlimen berkenaan.

Sementara itu, Choong yang sebelum ini merupakan Ketua Cabang PKR Tebrau semasa ditanya sama ada sudah menerima surat saman daripada PKR berhubung tindakannya menyokong PN berkata, surat itu telah pun diterimanya semalam menerusi kurier.

“Saya sudah minta peguam saya untuk memberi maklum balas surat itu yang menuntut saman RM10 juta. Saya juga bersedia untuk bawa kes ini ke mahkamah,” katanya.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast