Sukarelawan UPSI sedang membantu proses penyuraian selepas tamat waktu persekolahan.

KUALA LUMPUR – Seramai 22 orang sukarelawan mahasiswa bersama empat pegawai Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ke sekolah sekitar Tanjung Malim, semalam.

Ia bertujuan membantu menguruskan Prosedur Operasi Standard (SOP) penyuraian dua buah sekolah sekitar daerah itu ketika pembukaan hari pertama persekolahan.

Kesemua sukarelawan terdiri daripada mahasiswa Kolej Zaaba dan Kolej Aminudin Baki itu membantu Sekolah Kebangsaan Tanjong Malim dan Sekolah Kebangsaan Proton City sebaik tamat sesi persekolahan.

Pengarah program sukarelawan, Profesor Madya Dr. Norkhalid Salimin

Menurut pengarah program sukarelawan program itu, Profesor Madya Dr. Norkhalid Salimin, tujuan kesemua sukarelawan dihantar adalah untuk membantu pihak sekolah melicinkan operasi penyuraian dengan memastikan para pelajar keluar dengan tertib, mengikut laluan disediakan, memakai pelindung muka dan memastikan mereka melakukan penjarakan sosial sebaik melangkah keluar daripada sekolah.

“Sebagai sebuah Universiti yang prihatin terhadap komuniti setempat, UPSI menerusi Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) cakna dengan keperluan sekolah yang memerlukan sokongan dalam menguruskan sesi persekolahan dalam norma baharu.

“Dengan beban yang sedia ada, tidak mungkin pihak sekolah dapat menguruskan sesi persekolahan dengan sempurna.

Seramai 22 orang sukarelawan mahasiswa-mahasiswi bersama empat pegawai Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) membantu menguruskan Prosedur Operasi Standard (SOP) penyuraian dua buah sekolah sekitar daerah itu ketika pembukaan hari pertama persekolahan, semalam.

“Melihatkan peluang untuk membantu meringankan beban sekolah, pihak universiti telah berganding bahu dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batang Padang bersama Pusat Alumni UPSI untuk turun padang membantu pihak sekolah memantau pematuhan SOP bagi mengelak penularan wabak Covid-19 sepanjang tempoh minggu pertama persekolahan dibuka,” jelasnya.

Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Tanjong Malim, Azuraniza Abu Samah berkata, pihak sekolah telah melakukan pelbagai persediaan dari segi SOP sebelum menyambut kehadiran pelajar.

“Dengan kehadiran sukarelawan pada hari ini, sedikit sebanyak membantu mengurangkan masalah pelanggaran pematuhan SOP oleh pelajar-pelajar dan ibubapa,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast