TURIN – Juventus tersingkir buat tahun kedua berturut-turut walaupun berjaya mengalahkan FC Porto pada perlawanan kedua Liga Juara-Juara 16 terakhir di Stadium Allianz 3-2 awal pagi tadi
Tuan rumah terpaksa berputih mata kerana peraturan gol di tempat lawan yang mana Porto mendapat dua gol di tempat lawan berbanding hanya satu untuk Juventus.
Gol menerusi sepakan percuma masa tambahan Sergio Oliveira menghantar juara dua kali, Porto ke suku akhir ketika saingan berakhir dengan agregat 4-4.
Mendahului 2-1 daripada perlawanan pertama di Portugal, penalti babak pertama Oliveira meningkatkan kelebihan Porto tetapi Juventus menyamakan kedudukan menerusi dua gol Federico Chiesa selepas penyerang Porto, Mehdi Taremi dilayangkan kad merah.
Oliveira kemudian meledak gol menerusi sepakan percuma pada minit ke-115 yang melepasi kaki Rolando manakala tandukan Adrien Rabiot menyamakan kedudukan buat Juventus.
Juventus ternyata berharap kepada penyerang sensasi Portugal itu yang memegang rekod jaringan terbanyak selain penyerang Sepanyol, Alvaro Morata, yang menjaringkan enam gol dalam saingan musim ini.
Namun kekecewaan Juventus dalam Liga Juara-Juara berterusan untuk tempoh 25 tahun, gagal dalam pusingan kalah mati pertama buat tahun kedua berturut-turut selepas tewas kepada Lyon pada musim lalu. – MalaysiaGazette