Foto HAZROL ZAINAL, 08 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjalankan analisis terhadap semua kes pembunuhan sepanjang tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Menurut pertubuhan itu, ia bagi melihat trend berkaitan keganasan rumah tangga dan pembunuhan yang melibatkan pasangan dan ahli keluarga.

“Tanpa mengesan pembunuhan yang berkaitan dengan keganasan rumah tangga secara tepat, kita berisiko meremehkan kelaziman dan meminimumkan betapa seriusnya keganasan rumah tangga secara keseluruhan yang pada akhirnya mempengaruhi pemahaman kita mengenai keganasan rumahtangga di Malaysia,” kata WAO menerusi kenyataan hari ini.

Jelas WAO,  keganasan rumah tangga dilihat kejadian berulang yang semakin meningkat dari masa ke semasa.

“Pembunuhan selalunya adalah hasil daripada penderaan yang berpanjangan, dan dirancang dan bukannya ‘jenayah keghairahan’ yang sering dipopularkan,” tambahnya.

Dalam masa yang sama pertubuhan tersebut turut memohon agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) menetapkan protokol yang lebih ketat dan jelas dalam mengendalikan kes melibatkan krisis rumah tangga.

Ujar WAO, pendokumentasian kes dan pengesanan pembunuhan melibatkan rumah tangga perlu dilaksanakan pihak berkuasa.

“Ini sangat penting bagi responden pertama seperti polis, untuk mengesan dan bertindak secara tepat terhadap kes-kes keganasan rumah tangga yang berulang  kerana keganasan akan terus meningkat seiring dengan waktu, ini juga membolehkan polis untuk mengenalpasti kes yang berisiko tinggi dan bertindak dengan sewajarnya untuk menyelamatkan nyawa,” tambah WAO.

WAO berkata demikian mengulas perkembangan terbaharu yang menyaksikan kes pembunuhan seorang wanita yang telah ditembak oleh suaminya di Johor Bahru tempoh hari.

Selain itu baru-baru ini di Tawau, dilaporkan seorang lelaki menetak leher isterinya yang sedang hamil sekaligus menyebabkan kematian.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast