SEOUL – Korea Selatan akan meluaskan tawaran vaksinasi kepada penduduk berusia 65 tahun ke atas dengan vaksin AstraZeneca.
Perdana menterinya, Chung Sye-kyun berkata, dalam satu mesyuarat, tujuan pemberian itu bagi mempertingkatkan usaha vaksinasi di negaranya.
Negara itu telah melancarkan program vaksinasi sejak minggu terakhir Februari bermula dengan golongan warga emas dan petugas kesihatan.
Namun, sebanyak lebih daripada 370,000 penghuni rumah jagaan berusia 65 tahun ke atas telah dikecualikan pemberian vaksin kerana kekurangan data ujian klinikal mengenai kumpulan itu.
Menurut Chung, sebelum ini vaksinasi telah ditangguhkan bagi golongan berusia 65 tahun dan ke atas kerana kekurangan bukti untuk mengesahkan keberkesanan vaksin AstraZeneca.
“Bagaimanapun, baru-baru ini data dari Britain menunjukkan vaksin AstraZeneca dan Pfizer-BioNTech memberi hasil lebih 80 peratus berkesan dalam mencegah golongan berusia atas 80 tahun.
“Maka, vaksin Oxford-AstraZeneca bagi tujuh juta penduduk akan dilancarkan pada minggu terakhir bulan Mei ini,” katanya. -MalaysiaGazette