KUALA LUMPUR – Blackbixon Sdn Bhd (BlackBixon), sayap perniagaan makanan dan minuman Ni Hsin Resources Berhad (Ni Hsin) telah memeterai perjanjian kerjasama dengan Red One Network Sdn Bhd (redONE) semalam.
Kerjasama itu untuk memasar dan menjual runcit kopi tenaga baru Ni Hsin di bawah jenama BlackBixon.
Pengarah Urusan BlackBixon, Khoo Chee Kong gembira kerana menjalinkan kolaborasi dengan redONE dan melihat banyak sinergi dapat dicapai daripadanya.
“Ia termasuk bagaimana kami boleh mendapat manfaat daripada pelanggan redONE seramai 1.2 juta bagi memasarkan produk kami.
“Kami percaya rangkaian redONE boleh mengukuhkan usaha pemasaran dan mencapai pelanggan sasaran, baik perniagaan kepada perniagaan mahu pun perniagaan kepada pengguna.
“Kami melihat penyertaan kami ke dalam F&B sebagai langkah strategik untuk masa hadapan Ni Hsin kerana perniagaan baharu ini akan meningkatkan perolehan syarikat memandangkan minat yang tinggi terhadap minuman tenaga dan kopi selain permintaan bertambah dari segi penggunaan kopi di rumah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Turut hadir pada malis menandatangani perjanjian itu ialah Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, Pengerusi Ni Hsin, Sofiyan Yahya.
Menurut Chee Kong, kapsul kopi BlackBixon adalah gabungan tenaga, nutrisi dan kopi dengan mengadunkan kafein dan bahan semula jadi yang menambah tenaga dan imuniti.
“Untuk lebih memudahkan, kami menyediakan mesin kopi untuk pelanggan kami gunakan di kediaman atau tempat kerja tanpa sebarang caj tertakluk kepada syarat dan terma,” katanya.
Pandemik Covid-19 begitu mencabar termasuk Ni Hsin dan langkah pihaknya menceburi F&B juga akan menjadi permulaan usaha baharu daripada pengeluar peralatan memasak kepada bidang berlainan.
“Kami melihat sentimen pengguna domestik dan luar negara bertambah baik pada separuh kedua tahun ini di mana vaksin sudah ada dan ekonomi memulih. Ia diharap diterjemah sebagai permintaan lebih baik bagi perniagaan baharu kami ini,” katanya.
Selain itu, Ketua Pegawai Jualan redONE, Ben Teh berkata, redONE berbangga dapat menjalinkan kolaborasi dengan Ni Hsin di dalam perkongsian situasi menang-menang.
Menurutnya, 100 premis milik syarikatnya di seluruh negara akan menyediakan kopi segar BlackBixon kepada pelanggan sementara mereka berurusan dan ia memberi nilai tambah kepada perkhidmatannya.
Kopi BlackBixon adalah suatu adunan yang memberi manfaat kombinasi kafein dan Bioenergy Ribose® yang dipatenkan dan bila diminum, membantu meningkatkan proses sistesis tenaga secara semula jadi di dalam tubuh manusia.
Pada masa yang sama ia mengurangkan kelesuan dan menambah kepekaan mental seseorang individu.
Terdapat juga varian nutrisi kopi diperkayakan dengan ekstrak beri acai sebagai sumber terbaik phytonutrients dan antioxidants yang menguatkan imuniti badan dan pada masa sama, memberikan manfaat anti-penuaan.- MalaysiaGazette