KUALA LUMPUR – Kerjasama dengan pelbagai pihak menerusi pemasaran secara dalam talian (E-Commerce) membolehkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengurus lambakan bekalan pertanian ketika negara menjalani fasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak Covid-19.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, kecekapan mengurus perkara itu telah memberikan kesan positif sekaligus mengelak daripada berlakunya pembaziran terhadap hasil pertanian.
Katanya, ia merupakan satu cabaran besar dalam industri agromakanan kerana ia berlaku ketika negara sedang berdepan pandemik Covid-19 yang turut dialami di seluruh dunia.
Ronald tidak menafikan meskipun agak sukar pada peringkat awalnya, namun, MAFI berjaya memastikan kelancaran rantaian makanan tidak terganggu.
“Agak mencabar bagi kami apabila ketika negara sedang dilanda penularan Covid-19 dan industri agromakanan turut hadapi cabaan besar, khususnya pada peringkat awal pelaksanaan PKP di mana kelancaran rantaian makanan terganggu antaranya pengeluaran, pengedaran dan peruncitan produk hasilan pertanian dan industri makanan.
“Namun, MAFI dengan kerjasama semua pihak yang bertanggungjawab telah memastikan keadaan sentiasa terkawal dan apa yang penting, sepanjang masa, kita telah memastikan bahawa bekalan makanan untuk rakyat berada dalam keadaan yang mencukupi dan stabil.
“Sektor pertanian dan industri makanan telah diletakkan sebagai satu perkhidmatan perlu dan telah dibenarkan beroperasi sepanjang masa PKP dari peringkat awal sehingga sekarang,” kata beliau dalam satu sidang media khas Setahun Malaysia Prihatin di kementeriannya.
Menurut Ronald, MAFI telah mengambil pelbagai pendekatan khususnya untuk mengurus kekurangan bekalan serta isu lambakan dengan antaranya melaksanakan Pasar Segar Terkawal (PST) di 196 lokasi terpilih di seluruh negara.
Malah beliau berkata, pihaknya turut melaksanakan pemasaran secara dalam talian dan mendapat kerjasama strategik dengan Shopee, Lazada, MyGrocer, Ourshop/Ourfarm Airasia, Dropee dan sebagainya.
Jelasnya, menerusi pelaksanaan secara rancak menggunakan platform E-Commerce dengan pembabitan syarikat besar seperti Air Asia ia memberikan pulangan yang besar dalam industri pertanian.
“Usaha ini telah menambahkan jumlah yang besar daripada apa yang dicapai ketika ini.
“Pertemuan saya dengan Tan Sri Tony Fernandes telah memberi ruang bisnes to bisnes dan ia merupakan satu pendekatan yang sangat baik kita gunakan dan sednag mengukir kejayaan,” ujarnya.
Tambahnya, beliau yakin PKP fasa kedua ini akan lebih terkawal terhadap kekurangan ataupun lambakan hasil pertanian.
Mengulas lanjut, Ronald berkata, ketika musim PKP, kecenderungan rakyat Malaysia untuk membeli menggunakan secara dalam talian turut merancakkan perniagaan industri pertanian.
Bagaimanapun, selepas kerajaan membenarkan semua sektor beroperasi orang ramai kembali mengunjungi outlet-outlet untuk berbelanja.
Namun, kata beliau MAFI tidak akan berhenti mempromosikan kaedah pembelian secara E-Commerce terutamanya melihat dari segi pilihan, tabiat pengguna dam sebagainya.
“Jika mereka pergi ke pasar, mereka boleh melihat banyak ikan seluas mata memandang tidak seperti jika mereka membuat pilihan membeli ikan secara dalam talian.
“Tetapi MAFI tidak akan berganjak sebaliknya akan terus mempromosikan pembelian atas talian ini,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Ronald memberitahu, MAFI sedang melakukan kajian terhadap industri ruminan negara.
Katanya, negeri Sabah tidak dilupakan dalam hal itu dimana subsidi padi bukit sememangnya dikhaskan untuk Sabah dan Sarawak kerana industri itu sememangnya berkembang di kedua-dua negeri tersebut. – MalaysiaGazette