Berita palsu yang disebar dan ditular menerusi aplikasi Whatsapp dan Facebook ini telah dinafikan Kementerian Kesihatan.

IPOH – Pewartaan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No 2) 2021 berkuatkuasa hari ini akan memudahkan pihak polis mengambil tindakan kepada individu yang menyebarkan berita palsu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pewartaan itu sekali gus tidak memerlukan polis memohon arahan untuk menyiasat (OTI) yang sebelum ini mengambil masa agak lama.

Katanya, pewartaan ini bagi menangani isu berita palsu yang sengaja dimuat naik bagi mencetuskan rasa tidak senang hati satu pihak serta mengundang kegusaran orang awam.

“Saya alu-alukan keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan supaya kesalahan-kesalahan sedemikian tidak lagi perlu pihak polis mendapatkan OTI.

“Kita ada pasukan yang memantau selama 24 jam tentang apa yang dihidangkan dalam sosial media.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pemakaian Sayap Juruterbang dan Penutupan Rasmi Kursus Lesen Private Pilot’s di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai sembilan pegawai kanan berpangkat Asisten Superintendan dan Inspektor menerima pemakaian sayap juruterbang.

Tambah Abdul Hamid, pihak polis sendiri akan membuat laporan sekiranya wujud berita dikategorikan sebagai berita palsu di media sosial.

“Saya rasa pihak media pun sedia maklum betapa banyak perkara yang dianggap sampah yang telah dimuatnaik oleh pihak bertanggungjawab dalam dan luar negara.

“Selama ini majoriti orang ramai marah dan rasa seolah-olah polis lambat atau tidak mengambil tindakan terhadap pelaku menyebarkan berita palsu,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hamid memberitahu, seramai 330 individu ditahan mengikut kadar kompaun baharu sebanyak RM10,000 yang berkuatkuasa 11 Mac lalu mengikut Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) Pindaan 2021.

Semalam MalaysiaGazette melaporkan melalui pewartaan itu Ordinan berita palsu, sesiapa yang menghasilkan, menyiar atau menyebarkan berita palsu akan berdepan denda sehingga RM100,000, penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya berkuat kuasa esok, menurut warta kerajaan persekutuan.

Mereka yang membayar untuk penghasilan berita palsu itu akan berdepan hukuman lebih berat, dengan denda sehingga RM500,000 atau penjara enam tahun atau kedua-duanya. – MalaysiaGazette