Anjung Floria Putrajaya akan ditambahbaik menjadi pusat rekreasi bagi menarik pelancong tempatan dan asing.

PUTRAJAYA – Anjung Floria Putrajaya di Presint 4 di sini yang dahulunya tapak penganjuran Festival Bunga dan Taman Antarabangsa (FLORIA) Diraja Putrajaya akan dihidupkan sebagai pusat setempat aktiviti rekreasi dikenali sebagai Pit-Stop@Anjung Floria.

Tapak itu strategik dari segi kedudukannya yang berhubung dengan sisiran Tasik Putrajaya, laluan sikal bandar, laluan sikal dan pejalan kaki sisiran tasik serta laluan cruise.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, kawasan strategik itu telah dikenalpasti untuk dibangunkan sebagai tempat persinggahan atau pit-stop kepada pengunjung.

Ini, katanya, bagi membolehkan mereka menjalankan aktiviti riadah seperti berbasikal, berjalan kaki, berjoging, cruise, sukan air dan berkelah di sekitar Putrajaya.

Annuar Musa

“Lebih menarik, kawasan ini berlatarbelakangkan panorama tasik Putrajaya dan beberapa binaan ikonik seperti Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Jambatan Seri Saujana.

“Saya telah meminta Perbadanan Putrajaya (PPj) bukan sahaja melakukan penambahbaikan kepada tarikan pelancongan sedia ada ini, malah untuk memikirkan tarikan atau produk pelancongan yang baharu dan inovatif agar dapat menarik lebih ramai pengunjung ke sini.

“Ini selari dengan hasrat untuk menjadikan Putrajaya sebagai bandar rekreasi yang unggul yang menawarkan pelbagai pilihan aktiviti,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Annuar berkata, dengan memperbanyakkan aktiviti menarik, lebih ramai pengunjung akan menginap semalam dua atau lebih lama di Putrajaya.

Katanya, apabila lebih lama lagi pengunjung bermalam dan lebih banyak lagi berbelanja di Putrajaya, ini dapat membuka peluang bagi peniaga dan komuniti setempat menjana pendapatan.

“Sebagai Wilayah Persekutuan, Wilayah Prihatin adalah menjadi tanggungjawab Perbadanan Putrajaya untuk mewujudkan lebih banyak peluang untuk rakyat terutamanya komuniti Putrajaya memperbaiki taraf hidup dengan menceburi peniagaan bersesuaian di kawasan tarikan pelancongan dan rekreasi yang baharu di Putrajaya seumpamanya di Pit-Stop@Anjung Floria dan kawasan-kawasan sekelilingnya.

“Peluang perniagaan ini juga dapat membantu penduduk Putrajaya daripada pelbagai latar belakang termasuk belia dan kumpulan profesional yang telah kehilangan pekerjaan akibat pandemik Covid-19 untuk bangun semula.

“Berdasarkan keprihatinan ini kita dapat memberi kebolehupayaan kepada mereka yang terkesan untuk berdikari semula dan dibimbing untuk maju dalam peniagaan supaya dapat meningkatkan ekonomi Putrajaya dan menjadikannya lebih menarik kepada pelabur,” ujarnya.

Kata Annuar, Pit-Stop@Anjung Floria akan dilengkapi pelbagai kemudahan yang lengkap dan teratur termasuk tapak ekspo, tapak jualan, nurseri pokok, Kampung Beca, sewaan basikal, kayak, remote control (RC), cruise, bot dan sandy beach, di samping kemudahan rehat dan rawat (RnR) seperti kafe.

Usaha itu, jelas beliau, dapat menyokong ke arah pemantapan Putrajaya sebagai destinasi pelancongan serta bandar rekreasi.

“Dalam sesi tinjauan saya ke Anjung Foria hari ini, saya turut berkesempatan menanam pokok kayu raja (Cassia fistula) sempena kempen menanam satu juta pokok di Wilayah Persekutuan bagi peringkat Putrajaya.

“Kempen berkonsepkan Hutan Berbunga Dalam Bandar dengan meliputi antaranya kawasan taman awam, tasik dan rizab jalan adalah antara program Cakna Kehijauan di bawah inisiatif Wilayah Persekutuan Wilayah Prihatin yang juga selaras dengan Program Penghijauan Malaysia,” katanya.

Lebih 100,000 pokok akan ditanam di Putrajaya bagi menjayakan kempen itu, di mana selain pokok Cassia fistula, iaitu pokok ikonik Putrajaya dengan jambak bunga kuning berjuntaian, turut ditanam jenis pokok hutan seperti Merbau, Merawan, Pulai dan Meranti serta jenis pokok berbunga seperti Semarak Api dan Tekoma.

Pada masa ini, Putrajaya yang dibangunkan berkonsepkan Bandar Dalam Taman mempunyai lebih kira-kira 700,000 tanaman pokok pelbagai jenis dan spesies dan menjadi tarikan pelancongan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast