Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melihat replika rumah pada Majlis Pecah Tanah Program Sasar di Kem Transmitter, Sungai Besi. Foto HAFIZ SOHAIMI, 13 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan menyasarkan pembinaan sebanyak 25,000 unit rumah untuk warga anggota tentera sehingga tahun 2030.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebagai permulaan kira-kira 3,500 unit rumah jenis pangsapuri akan dibina di Sungai Besi di sini menggunakan konsep kerjasama dengan pihak swasta.

Beliau berkata, rumah itu akan dibina di atas tanah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan bagi kegunaan Tentera Darat Malaysia.

“Projek pembinaan ini dinamakan Program SASaR, Satria Residensi Sungai Besi yang akan dimajukan oleh syarikat Pembinaan Serta Hebat Sdn. Bhd.

“SASaR, atau program Satu Anggota Satu Rumah dimulakan kira-kira empat tahun lalu dengan menetapkan objektif setiap anggota dan veteran memiliki rumah sendiri sebelum mereka bersara.

“Seterusnya, agenda perumahan ini telah dijadikan sebagai satu program dalam teras kebajikan Kementerian Pertahanan,” katanya kepada penberita selepas merasmikan majlis pecah tanah program SASaR di Kem Transmitter, Sungai Besi hari ini.

Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Jeneral Affendi Buang; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd. Aziz dan Panglima Tentera Darat, Tan Sri Jeneral Zamrose Mohd Zain.

Menurut Ismail Sabri, SASaR Genting Klang pula adalah projek kedua yang telah diluluskan secara prinsip oleh Majlis Jemaah Menteri pada 7 Ogos tahun lalu.

Ujar beliau, perumahan SASaR itu akan dibangunkan di lokasi Kem Genting Klang dengan keluasan 69 ekar dan Wardieburn 6.5 ekar.

Mengenai Satria Residensi, Ismail Sabri berkata, projek itu akan dibina di atas tanah Kem Transmitter, Sungai Besi di kawasan seluas 23.11 hektar.

Katanya, sebanyak tiga kategori rumah jenis pangsapuri akan dibina iaitu kategori A berkeluasan 1,000 kaki persegi sebanyak 1,800 unit dengan harga RM150,000.

Ini diikuti kategori B berkeluasan 1,100 kaki persegi sebanyak 1,200 unit yang akan dijual pada harga RM199,000, dan kategori C berkeluasan 1,200 kaki persegi dibina sebanyak 500 unit dengan harga RM250,000 seunit.

Jelas beliau, projek itu dijangka mengambil masa tiga tahun untuk siap dan dilengkapi pelbagai kemudahan awam seperti dewan orang ramai, surau dan balai pengawal.

Beliau berkata, kerajaan menerusi Kementerian Pertahanan terus komited memastikan isu berkaitan perumahan anggota ATM dan veteran sentiasa menjadi keutamaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast