Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Aminuddin Yahaya bercakap pada sidang media selepas Program Perkumpulan Tergempar mengenai Isu Kalimah Allah 2.0 anjuran Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Bharu, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 14 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan pendidikan agama itu akan membuka ruang lebih luas berlakunya murtad dan pemikiran pluralisme terhadap Islam.

Berikutan itu, Pengerusi Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahaya berkata, badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang kecewa terhadap keputusan berkenaan sepakat membuat enam resolusi pada hari ini. 

“Kami ingin menzahirkan rasa terkejut dan kecewa dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati larangan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam adalah salah dan tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan.

“Keputusan ini akan membuka penyalahgunaannya yang akan menyebabkan bukan sahaja kalimah suci yang berkaitan akan dihina malah akan menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam dan bukan Islam,” katanya pada sidang media.

Terdahulu Pembela mengadakan pertemuan dengan 50 NGO Islam untuk membincangkan resolusi terhadap keputusan penggunaan kalimah Allah oleh Mahkamah Tinggi baru-baru ini.

Antara resolusi yang telah disepakati adalah, mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk merayu terhadap keputusan berkenaan ke peringkat perundangan yang seterusnya.

Pada masa sama, Pembela juga meminta KDN memohon penangguhan pelaksanaan keputusan mahkamah tinggi berkenaan.

“KDN perlu  mengeluarkan pekeliling baharu pengharaman penggunaan perkataan-perkataan tersebut sekiranya penangguhan tidak dibenarkan,” katanya.

Selain itu, Pembela turut menuntut kerajaan memasukkan Preamble (Mukadimah) kepada Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan elemen-elemen penting demi menjaga keutuhan agama Islam.

Pembela juga katanya, memohon Raja-Raja Melayu selaku Ketua Agama Islam di negeri masing-masing mengambil tindakan segera untuk membetulkan keadaan supaya Islam tidak terus dihina dan dipermainkan.

“Selain itu Pembela menuntut kerajaan dan Jawatankuasa Pemilihan Hakim apabila melantik hakim-hakim pastikan mereka yang benar-benar faham perundangan negara dan menghayati Islam sebagai agama persekutuan dalam konteks sebenar,” tambahnya.

Tambah Aminuddin,  Dewan Bahasa dan Pustaka juga perlu memberikan definisi god sebagai Tuhan bagi menghilangkan pertikaian yang timbul.

Pembela yang mengadakan pertemuan selama hampir dua jam di Kelab Sultan Sulaiman menyeru persatuan Islam mengambil serius perkara tersebut termasuk menyarankan satu memorandum bantahan dihantar ke Majlis Agama Islam Negeri  setiap negeri dengan segera.

Sementara itu, Pembela menyelar pihak yang dilihat bersungguh-sungguh mahu menggunakan kalimah suci yang jelas tidak sensitif dan sengaja mahu menimbulkan perselisihan dalam kalangan penganut agama.

“Malah ada pemimpin DAP yang menzahirkan rasa syukur dengan keputusan ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast