PUTRAJAYA – Bagi yang pernah melewati bandar bernama Putrajaya, pastinya anda pulang dengan perasaan teruja yang berbekas dalam hati.
Mana mungkin pengunjung tidak terpersona dengan suasana bandar berkeluasan 4,931 hektar ini yang menjanjikan satu pengalaman yang berbeza apatah lagi yang pertama kali mengunjunginya.
Ditambah pula infrastruktur yang sistematik, Putrajaya dilatari bangunan yang unik mempersona lagi indah, dikelilingi kehijauan taman dan kebiruan tasik membentuk mercu tanda kebanggaan Malaysia.
Selain beberapa lokasi yang menjadi tarikan pelancong seperti Istana Kehakiman, Kompleks Pejabat Perdana Menteri, Masjid Besi, Monument Millenium, Masjid Putra, Morrocan Pavilion dan Taman Botani, Putrajaya juga dikenali sebagai ‘lubuk’ udang galah.
D’Empangan Udang Galah merupakan salah satu lokasi makan popular di Putrajaya kembali merancakkan operasinya selepas sekian lama sepi ekoran terjejas pandemik Covid-19.
Pemilik premis, Datin Zurinah Mohd berkata, kelonggaran yang diberikan kerajaan kepada pengusaha restoran memberi semangat baharu untuknya menghangatkan semula lokasi berkenaan, sekali gus membantu peniaga-peniaga gerai di situ menjana kembali pendapatan yang terjejas.
“Impian saya untuk menjadikan D’Empangan Udang Galah sebagai pusat komersil udang galah. Dalam Putrajaya ini, hanya kita sahaja yang menawarkan makanan beradaskan udang galah.
“Jadi selepas PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) banyak perniagaan yang terjejas, sebagai pemilik premis menjadi tanggung jawab saya menaikkan D’Empangan Udang Galah semula. Membawa objektif yang lebih besar, kami mahu menjadikan D’Empagan Udang Galah, sebagai salah satu tarikan pelancongan di Putrajaya,” katanya.
Menyediakan aneka hidangan berasaskan udang galah, pengunjung berpeluang menikmati hidangan yang lazat dengan harga berpatutan, sambil menyaksikan panorama indah Tasik Putrajaya terutamanya di waktu malam.
Bukan itu sahaja, D’Empangan Udang Galah juga satu-satunya lokasi di Putrajaya yang berkonsepkan makan sambil berhibur.
Pengunjung akan dihiburkan dengan persembahan hiburan dari artis residen tetap antaranya Hail Amir, Razis Ismail, Shidee dan Isma AF.
Tidak terbatas pada hidangan berasaskan udang galah, D’Empangan juga menyediakan hampir sembilan buah gerai kecil ala kiosk dengan masing-masing menjual aneka menu yang tidak menghampakan selera anda.
Pengunjung juga boleh mencuba hidangan seperti Char Kue Tiaw, Yong Tau Foo, Roti John, Nasi Arab, Nasi Lemak Pandan, Nasi Dagang serta gorengan seperti pisang, ubi, baby crab atau colek ala rojak.
Bagi mereka yang ingin membasahkan tekak dan sukakan menu manis, gerai manisan dan ais krim Sangkaya juga ada disediakan di sini dengan pilihan perisa menarik mengasyikan.
D’Empangan Udang Galah juga bersedia untuk menyambut kedatangan bulan Ramadan dengan pelbagai pakej istimewa.
Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut mengenai D’Empangan Udang Galah, anda boleh menghubungi Encik Zul di 012-2704304. – MalaysiaGazette