KUALA LUMPUR – Syed Saddiq Abdul Rahman menegaskan beliau akan terus bersuara berhubung kompaun RM10,000 yang dikenakan kepada rakyat yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 walaupun ada yang mempertikai tindakannya.
Ahli Parlimen Muar itu berkata, selagi ramai yang teraniaya, beliau akan terus bersuara kerana denda yang dikenakan terlalu mahal.
”Kalau ada individu yang letak mask tu di bawah dagu, memang betul salah.
”Tapi, waktu waktu begini budi bicara pihak berkuasa sangat penting. Boleh sahaja pihak berkuasa tegur dan beri amaran. Nak keluarkan surat kompaun lebih lama dan banyak proses berbanding beri amaran.
”Memang ini satu kesalahan sebab tak pakai mask dengan betul tetapi wajarkan kena kompaun sehingga RM10,000?,” soalnya sambul menyifatkan tindakan ini berlaku apabila kerajaan meletakkan alasan ‘meningkatkan kesedaran’ sebagai satu nombor.
Sedangkan hal-hal beban membayar kompaun, orang miskin yang teraniaya dan wang yang besar harus dibayar juga harus masuk dalam pertimbangan.
Soalnya lagi, menteri-menteri yang langgar SOP, bila lagi akan dikenakan kompaun.
Terdahulu dalam kenyataan berasingan, Syed Saddiq mempersoalkan adakah mereka yang didenda sebanyak RM10,000 mampu melunaskan bayaran tersebut.
Katanya, semalam ada empat individu kena kompaun RM10,000 kerana melanggar SOP di Sibu.
Salah seorang wanita berusia 23 tahun, seorang lagi pemilik kedai makan berumur 53 tahun.
Dua lagi pemilik kedai gunting, masing-masing berusia 67 tahun dan 32 tahun.
Kesalahan yang mereka lakukan ialah tidak memakai pelitup muka, gagal selia keluar masuk kedai dan tidak memakai sarung tangan dan apron pakai buang.
”RM40,000 perlu dikutip dari mereka 4 orang. Dua hari lepas ada 330 orang kena denda bersamaan RM3.3 juta. Cuba kita fikir, mereka ni ada wang untuk bayarkah?
”Jaga kedai makan, kedai gunting rambut, usia baru 23 tahun semua ini ada wang untuk bayar dendakah? Benar, hukum tetap hukum dan salah tetap salah.
”Tetapi kerajaan harus fikir beban rakyat yang terlampau besar dan dahsyat apabila kena denda RM10,000. Sekarang ni waktu orang susah, lapar dan sakit. Melampau.
”Tapi ini pula yang kerajaan laksanakan. Hari ni orang lain kena, hari esok mungkin kita yang kena denda. Nak buat rayuan? Dapat potongan RM300, RM500 pun kira rayuan lulus. Masalahnya, macam mana dengan mereka yang memang tak mampu bayar?
”Mungkin Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri tak perlu fikir hal ini. Rakyat kita ni macam mana?,” tanya beliau lagi. – MalaysiaGazette