Foto daripada Facebook Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menerima suntikan vaksin Covid-19 di Klinik Kesihatan Chendering, Kuala Terengganu, semalam.

Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Ahli Parlimen Marang itu menerusi hantaran di Facebook.

“Alhamdulillah, hari ini (semalam) saya telah menerima suntikan vaksin Covid-19 di Klinik Kesihatan Chendering,” katanya.

Menurut beliau, vaksin yang diterima merupakan salah satu cara untuk meningkatkan imuniti kelompok (herd immunity) dalam kalangan masyarakat, supaya memiliki daya tahan terhadap penyebab jangkitan penyakit tersebut.

“Fokus kerajaan sekarang ialah menjaga keselamatan rakyat sebagai keutamaan, dalam fasa kita berperang dengan wabak ini terutamanya keselamatan dari sudut kesihatan.

“Pada masa yang sama, pihak kerajaan berusaha memulihkan ekonomi rakyat yang teruk terjejas akibat wabak yang kita sedang hadapi,” ujarnya.

Beliau berkata, para ulama menyatakan satu kaedah fiqh yang bermaksud, ‘kemudaratan itu disingkirkan’.

Jelasnya, sesuatu kemudaratan itu dihilangkan atau disingkirkan melalui pelbagai cara, antaranya adalah dengan mengambil langkah berjaga-jaga terhadap sesuatu bahaya yang bakal menimpa.

Oleh itu, Abdul Hadi berkata pengambilan vaksin termasuk menyingkirkan kemudaratan.

Maka, tambahnya, vaksinasi ini turut bertepatan dengan kaedah fiqh.

“Insya-Allah, dengan adanya vaksin ini kita dapat mengurangkan jangkitan wabak penyakit Covid-19.

“Saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia serta yang menetap di Malaysia untuk segera mendaftarkan diri untuk mendapat suntikan vaksin Covid-19 menerusi aplikasi MySejahtera,” tambahnya.

Beliau berharap semoga usaha murni yang dijalankan itu diberkati oleh Allah SWT untuk melindungi diri, keluarga dan masyarakat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast