KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menghargai kerajaan Sarawak yang merancang membantu anak negeri itu membayar baki hutang pinjaman melalui inisiatif yang dilaksanakan.
Jurucakap PTPTN berkata, bagi menjayakan usaha prihatin itu, pihaknya telah mengadakan majlis pertukaran memorandum persefahaman (MOU) dengan Yayasan Sarawak bagi kerjasama insentif bayaran balik pinjaman PTPTN anak Sarawak pada 5 Mac lalu.
Katanya, majlis itu disaksikan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Dr. Abang Johari Tun Openg.
Kerajaan Sarawak menerusi Yayasan Sarawak telah membantu sehingga 9,000 peminjam menyelesaikan 30 peratus daripada baki hutang pinjaman PTPTN dengan peruntukan kira-kira RM30 juta.
Menurutnya, peminjam itu melibatkan anak Sarawak yang telah menyelesaikan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada pinjaman PTPTN, sekali gus menghargai komitmen mereka yang telah membuat bayaran balik pinjaman.
“Inisiatif kerajaan Sarawak ini merupakan usaha yang proaktif kerana satu-satunya kerajaan negeri yang bertindak merealisasikannya dengan peruntukan sebanyak RM30 juta.
“Peruntukan ini merupakan amaun yang cukup besar dalam usaha kerajaan negeri Sarawak memastikan peminjam PTPTN yang terdiri daripada anak Sarawak bebas daripada belenggu hutang.
“Inisiatif ini sewajarnya dijadikan contoh serta ikutan kerajaan negeri lain, dengan menjadikan usaha Sarawak membantu rakyatnya membayar baki hutang pinjaman PTPTN sebagai pilihan utama bagi pemberian insentif dalam perancangan Belanjawan Negeri untuk manfaat rakyat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurut jurucakap itu lagi, cadangan berkenaan sesuai ketika rakyat terkesan akibat penularan pandemik Covid-19.
Katanya, PTPTN sentiasa bersedia bekerjasama dengan kerajaan negeri di seluruh negara untuk merealisasikan inisiatif itu bagi memastikan kebajikan peminjam.
“Kita berharap kerajaan Sarawak akan terus menyokong usaha yang dibuat oleh PTPTN untuk membudayakan pembayaran balik pinjaman dalam kalangan masyarakat untuk kesinambungan pinjaman kepada generasi akan datang.
“Rakyat Sarawak bertuah kerana mempunyai kerajaan yang prihatin dalam menyediakan keperluan rakyat terutama dari aspek kewangan bagi tujuan pengajian tinggi,” katanya.
Jelas PTPTN lagi, inisiatif itu dilaksanakan berdasarkan polisi dan prosedur yang ditetapkan Yayasan Sarawak, di samping memudahkan urusan, peminjam tidak perlu mengemukakan sebarang permohonan.
Katanya, peminjam boleh membuat semakan bagi nama yang layak melalui portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my/SemakanInsentifBayaranBalikAnakSarawak mulai hari ini.
Untuk maklumat lanjut juga, peminjam boleh menghubungi Careline PTPTN melalui talian di 03-2193 3000 yang beroperasi pada Isnin hingga Jumaat, jam 9 pagi hingga 5 petang dan melalui Soalan Lazim di Portal PTPTN. – MalaysiaGazette