TEMERLOH – Mayat kanak-kanak lelaki yang mati lemas selepas hanyut dibawa arus bersama bapa saudaranya petang semalam di Sungai Pahang telah ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat hari ini.
Mayat mangsa, Muhammad Naufal Farhan bin Azrul, 8, dijumpai oleh pasukan penyelamat pagi tadi lebih kurang 35 meter dari lokasi mangsa dipercayai lemas.
Penolong Pegawai Bomba, Mohd Idzhar Razali, Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang mengesahkan pihaknya menerima laporan kecemasan insiden berkenaan pada jam 4.50 petang semalam.
Dalam kejadian petang semalam, mangsa bersama bapa saudara dikatakan melakukan aktiviti riadah mencari etok bersama ibu bapanya di Sungai Pahang.
Idzhar berkata, mayat mangsa telah dihantar dan diserahkan ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) untuk bedah siasat.
“Operasi melibatkan kekuatan jentera sebuah Hilux, 15 bot dan satu kembara logistik serta melibatkan 55 anggota penyelamat termasuk orang awam dalam misi.
“Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak Forensik HOSHAS untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Dalam pada itu, operasi mengesan bapa saudara mangsa, Mohd Hakim Faqih Norazmi yang berusia 16 tahun diteruskan pihaknya.
“Operasi masih diteruskan lagi dengan menggunakan teknik selaman dan surface rescue dengan menggunakan bot mencari mangsa di permukaan air sungai sejauh dua kilometer dari lokasi mangsa dipercayai lemas,” katanya.
Operasi di ketuai Zon 2 Pahang dan dibantu Penolong Pegawai Bomba Abdul Rahim Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Negeri Pahang. – MalaysiaGazette