Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menguatkuasan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi lokaliti Pulau Tioman, Pahang selama dua minggu mulai esok.

Ini berikutan, Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati berlaku peningkatan kes positif Covid-19 secara mendadak di kawasan itu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semalam KKM melaporkan telah melakukan sebanyak 48 ujian saringan dan 16 kes daripadanya positif.

“KKM telah mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti ini dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi.

“Berikutan itu, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD bermula 16 hingga 29 Mac ini.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk serta mengawal pergerakan dan penularan jangkitan dalam komuniti,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Ismail Sabri Yaakob targeted domestic travel bubble tourism Langkawi
Ismail Sabri Yaakob

Sementara itu, bagi lokaliti Daerah Nabawan, Sabah, kerajaan bersetuju melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga berkuatkuasa esok berikutan masih ada lagi sampel saringan Covid-19 yang belum dikeluarkan keputusannya.

Kata Ismail Sabri, tempoh itu dilanjutkan selama dua minggu lagi sehingga 30 Mac ini.

Ini, katanya. berikutan daripada 3,079 ujian saringan yang dilakukan KKM kepada penduduk di situ, secara kumulatif sebanyak 279 kes positif direkodkan.

“Sepatutnya PKP di lokaliti ini tamat esok, 16 Mac 2021, tetapi KKM sendiri mengesahkan masih terdapat baki 872 sampel saringan yang belum mendapat keputusan.

“Justeru, atas nasihat Jawatankuasa Teknikal PKP dan KKM, kita bersetuju untuk melanjutkan PKP di daerah ini dua minggu lagi sehingga 30 Mac ini,” katanya.

Mengenai operasi pematuhan SOP PKP, Ismail Sabri menjelaskan, seramai 458 individu ditahan atas pelbagai kesalahan.

Ujarnya, daripada jumlah itu, 438 individu dikenakan kompaun, manakala tujuh direman dan 13 lagi dijamin.

Antara kesalahan direkodkan ialah aktiviti pusat hiburan (260 individu), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (90), gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (40), tiada penjarakan fizikal (39), tidak memakai pelitup muka (26) dan premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (tiga orang).

Dalam Operasi Benteng semalam, hanya lapan pendatang asing tanpa izin ditangkap dengan empat kenderaan darat yang digunakan untuk aktiviti penyeludupan itu dirampas.

Pada masa sama, pihak berkuasa turut mengesan sebanyak 116 bot atau kapal di perairan negara melalui 10 aktiviti rondaan. – MalaysiaGazette