GEORGE TOWN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang hari ini.
Pengarah JPJ Pulau Pinang, Adenan Md Isa ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan tangkapan itu.
“Mereka (anggota JPJ) yang ditahan itu saki baki yang menerima rasuah daripada pemilik sebuah syarikat pengangkutan yang dipercayai melakukan kesalahan jalan raya khususnya yang membawa lebih muatan di sekitar negeri ini,” katanya.
MalaysiaGazette difahamkan kesemua anggota itu akan direman di Mahkamah Majistret di sini esok.
Pada April 2019, media tempatan melaporkan lebih 70 pegawai dan anggota JPJ Pulau Pinang ditahan selepas disyaki terlibat dengan kegiatan rasuah melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya khususnya membawa lebih muatan sekitar Pulau Pinang.
Difahamkan, modus operandi yang digunakan adalah membekalkan pelekat khas kepada lori yang dilindungi agar senang dikenalpasti.
Kesemua pegawai penguatkuasa JPJ gred 19 hingga 32 daripada Pejabat JPJ Pulau Pinang itu dipercayai menerima bayaran berjumlah antara RM10,000 hingga RM32,000 secara bulanan sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap pemandu-pemandu lori terlibat selain turut membocorkan maklumat operasi JPJ. – MalaysiaGazette